top of page

Ewon salur RM87,000 kepada gereja, sekolah dan persatuan di Penampang

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

17 Julai 2026


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyalurkan sumbangan berjumlah RM87,000 menerusi peruntukan khas Ahli Parlimen kepada sekolah, gereja dan pertubuhan masyarakat di kawasan Parlimen Penampang.


Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmennya untuk terus menyokong organisasi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan kesejahteraan komuniti setempat.



“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak sekolah, gereja dan persatuan dalam melaksanakan aktiviti serta menyediakan keperluan masing-masing,” katanya.


Majlis ringkas penyerahan sumbangan itu diadakan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang, di sini, hari ini.


Daripada jumlah keseluruhan sumbangan itu, Lembaga Pengurusan Sekolah SJK (C) Yue Min Penampang menerima RM50,000, Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Donggongon (RM14,000), SIB Beverly Hills (RM13,000) dan Persatuan Satuhati Penampang sebanyak RM10,000.


Selain itu, Ewon turut menerima kunjungan penulis bahasa Kadazandusun, Cikgu Fidelis Sipangkui. Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bagi menyokong usaha penulisan dan penerbitan buku-buku bahasa Kadazandusun yang sedang diusahakan.


Sementara itu, Guru Besar SJK (C) Yue Min Penampang, Brandon Lee, berkata sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan bagi meningkatkan sistem keselamatan sekolah, termasuk menaik taraf sistem pencegahan kebakaran.


“Kami akan menggunakan sumbangan ini sebaik mungkin demi meningkatkan aspek keselamatan di sekolah. Terima kasih atas keprihatinan Datuk Ewon terhadap kebajikan dan keselamatan murid-murid. Kami berharap beliau akan terus membantu demi manfaat anak-anak di sekolah kami,” katanya.


Ketua Sidang Gereja SIB Donggongon, Jonathan Gisong, yang mewakili kepimpinan gereja, turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang disalurkan.


Beliau berkata, bantuan itu akan digunakan untuk memenuhi keperluan gereja, termasuk pembelian sistem audio dan peralatan multimedia bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti.


Sementara itu, Pengerusi SIB Beverly Hills, Penatua Samin, bersama Timbalan Pengerusi, Penatua Lamat, berkata sumbangan berkenaan amat bermakna dalam membantu memenuhi keperluan gereja.


Menurut mereka, pihak gereja menghargai keprihatinan Ewon yang sentiasa memberi sokongan kepada pembangunan gereja dan komuniti di kawasan Penampang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page