top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sampaikan bakul makanan kepada Pastor DUN Kadamaian

23 Julai 2021 Oleh Marryan Razan KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada hampir 100 orang Pastor di DUN Kadamaian di pusat khidmat beliau, hari ini. Bakul makanan tersebut antara lainnya hasil sumbangan bersama pelbagai pihak seperti syarikat swasta, NGO, penderma persendirian dan beliau sendiri selaku Adun. Menurut Ewon, pemimpin-pemimpin gereja seperti pastor merupakan antara yang terjejas pendapatan kerana tidak ada pungutan mingguan bagi acara ibadah di gereja.

"Justeru, kita telah mengenalpasti mereka sebagai komuniti yang amat wajar dibantu dan kita telah mengambil inisiatif berkaitan. Kita berterima kasih kepada ramai penyumbang yang tampil untuk membantu. "Selaku Adun, inilah antara lain tanggungjawab saya yang akan diteruskan. Saya bukan lagi Wakil Rakyat Kerajaan buat masa ini, tetapi saya terus bersemangat untuk membantu rakyat Kadamaian," katanya selepas penyampaian sumbangan kepada wakil-wakil Pastor di Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, hari ini.

Ewon berkata, masih ramai penduduk di Kadamaian yang memerlukan bantuan bakul makanan berdasarkan kepada mereka yang menghubungi pusat khidmat beliau. Turut hadir dalam acara ringkas penyampaian kepada pastor-pastor ialah mantan Adun Kadamaian Datuk Yapin Gimpoton.

Terdahulu, Ewon turut menyampaikan sumbangan 50 bakul makanan untuk isi rumah yang kritikal keperluan bakul makanan di Kg Nahaba dan Kg Tegudon yang masih diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Mewakili isi rumah bagi menerima bakul makanan tersebut ialah Padis Mengisan, Ketua Upko Cawangan Kg Nahaba.

bottom of page