top of page

Ewon sampaikan sumbangan kepada 25 masjid, surau dan 599 asnaf di Kadamaian

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

14 Mac 2026


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan kepada 25 masjid dan surau serta 599 golongan asnaf di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.


Sumbangan itu disampaikan sempena Program Berbuka Puasa Bersama Jawatankuasa Masjid dan Surau di seluruh DUN Kadamaian, di perkarangan Masjid Kampung Tambulion di sini, semalam.


Ewon berkata program itu merupakan antara program tahunan yang dilaksanakannya setiap kali bulan Ramadan sejak menjadi wakil rakyat kawasan itu.


“Pada tahun ini Pusat Khidmat ADUN Kadamaian bekerjasama dengan Yayasan KOSMA menjayakan program ini.

“Sebanyak 25 masjid dan surau di seluruh DUN Kadamaian masing-masing menerima sumbangan RM1,000 serta bakul kurma, manakala seramai 599 orang asnaf turut menerima bantuan, yang disumbangkan oleh Yayasan KOSMA dan KKIP Sdn.Bhd.


“Saya ucapkan terima kasih kepada Yayasan KOSMA dan KKIP Sdn Bhd yang telah menyalurkan sumbangan-sumbangan ini,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM10,000 kepada Masjid Kampung Tambulion.


Beliau berkata program seumpama itu bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Katanya, antara kekuatan utama rakyat Sabah adalah perpaduan dan persefahaman antara kaum dan agama.


“Inilah kehebatan dan keistimewaan Sabah. Dalam satu keluarga besar, kita sering melihat anggota keluarga yang menganuti agama yang berbeza, ada yang beragama Islam, Kristian dan mungkin juga agama lain, namun masih dapat meraikan perayaan keagamaan masing-masing dalam suasana harmoni.


“Apabila semangat keharmonian dan kebersamaan ini bermula dalam keluarga, kemudian dibawa ke peringkat komuniti, kejiranan dan daerah, saya yakin ia akan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat di luar Sabah,” katanya.


Ewon berharap nilai saling menghormati, melengkapi dan meraikan antara satu sama lain terus diperkukuhkan demi memastikan perpaduan masyarakat di negeri ini kekal terpelihara.

“Mudah-mudahan nilai yang kita amalkan ini menjadi ilham kepada masyarakat di tempat lain tentang bagaimana rakyat yang berbilang kaum dan agama dapat saling menghormati, saling melengkapi dan saling meraikan antara satu sama lain,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page