Ewon sampaikan sumbangan kepada komuniti Kg GensuraiEwon sampaikan sumbangan kepada komuniti Kg Gensurai
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sampaikan sumbangan kepada komuniti Kg Gensurai


Penyampaian sumbangan RM2500 kepada Maison Bansai untuk membaiki kerosakan jalan perumahan kampung.

19 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan kepada komuniti Kg Gensurai bagi melaksanakan beberapa program gotong-royong.


Dalam lawatan ke kampung tersebut hari ini, beliau menyampaikan sumbangan RM2,500 untuk membaiki kerosakan jalan perumahan kampung dan RM1,000 untuk membesarkan gerai keusahawanan wanita kampung yang akan dilaksanakan secara bergotong-royong.


Menyampaikan sumbangan RM1000 bagi membesarkan gerai keusahawanan wanita kampung ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan RM500 kepada Claerachel Jakiyol dari kampung ini yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bulan ini.


Ewon turut bersetuju untuk membiayai keperluan membaikpulih bangunan balai raya yang digunakan sebagai tadika KEMAS dan menabur batu kelikir di jalan pertanian Norutipan yang keseluruhannya melibatkan kos sebanyak RM4,000.


Menyampaikan sumbangan RM500 kepada wakil sdri Claerachel yg akan melanjutkan pelajaran ke UPSI.

“Ini adalah komiten berterusan saya berkhidmat kepada rakyat Kadamaian dan mesti dilaksanakan secara gotong-royong sesuai dengan aspirasi membudayakan perpaduan melalui gotong-royong. Walaupun saya tidak lagi menguruskan peruntukan khas ADUN kerana berada di blok pembangkang, tetapi saya sentiasa mencari ikhtiar untuk memberikan perkhidmatan seperti ini.


“Dalam masa yang sama, saya menggesa pihak Kerajaan dan juga pentadbir pembangunan yang menguruskan peruntukan pembangunan di Kadamaian agar proaktif dan agresif dalam menguruskan keperluan pembangunan di kampung-kampung di Kadamaian sepertimana yang dilaksanakan semasa saya di blok Kerajaan sebelum ini,” katanya.


Meninjau bangunan balai raya yg digunakan sebagai Tadika KEMAS

Menurut Ewon, sepanjang tempoh dua tahun beliau menguruskan peruntukan pembangunan DUN Kadamaian, antara kemudahan yang dilaksanakan di kampung ini ialah pembinaan konkrit jalan perhubungan desa, membina konkrit jalan kampung dan jalan ke dewan, membina dewan terbuka dan penyaluran sumbangan pelaksanaan program gotong-royong.


Sementara itu, penyelaras program gotong-royong komuniti, Maison Bansai menyatakan program gotong-royong yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguhkan kerana beberapa keluarga di kampung ini telah diperintahkan untuk kuarantin rumah akibat Covid-19.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ewon dan Pusat Khidmat ADUN Kadamaian yang telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada keluarga yang terlibat tersebut.








bottom of page