Ewon terima kunjungan Anna Vivienne penulis ‘Hauntings and Ghostly Whispers’
- Marryan Razan
- Dec 14, 2021
- 1 min read

14 Disember 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick terus memberikan sokongan kepada usaha penulis tempatan menerbitkan buku cerita rakyat Sabah termasuk ‘Hauntings and Ghostly Whispers’ hasil karya bekas wartawan Anna Vivienne.
Buku pertama beliau bertajuk ‘Strange Magic and Supernatural Encounters’ dilancarkan oleh Ewon pada September 2019, manakala buku kedua ‘Hauntings and Ghostly Whispers’ dilancarkan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, di Rumah Terbalik Tamparuli pada Ahad.
“Saya akan terus memberi sokongan kepada saudari Anna termasuk penerbitan buku beliau yang seterusnya berkaitan kepercayaan dan pantang larang masyarakat Kadazandusun,” kata Ewon selepas menerima kunjungan hormat daripada Anna Vivienne, di pejabatnya, di sini, hari ini.
Beliau turut memuji Anna Vivienne atas usaha menerbitkan buku kedua ini dan menggalakkan agar lebih ramai penulis menghasilkan buku-buku seperti itu.
“Buku seperti ini boleh dijadikan sebagai cenderahati kepada pelancong kerana ia adalah sebuah cerita rakyat masyarakat Dusun yang menarik dan mungkin berbeza dengan cerita rakyat masyarakat lain,” katanya.

Buku ‘Hauntings and Ghostly Whispers’ mengandungi 12 cerita berdasarkan kepercayaan tradisional dan ghaib masyarakat Dusun iaitu Mobpisok, Lokiu, Bugang, Mompuod, Linisok, Magagandad, Mintatamong, Mantatalob, Totumolong, Obingkito dan Mogigiyon.
“Kesemua cerita dalam buku ini adalah cerita benar dan berdasarkan kepercayaan tradisional masyarakat Dusun pada zaman dahulu tetapi watak-watak dalam cerita ini adalah rekaan semata-mata bagi menghibur para pembaca.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak mempromosi kepercayaan sedemikian untuk menggalakkan kembali kepada animisme atau agnostisisme. Ini hanyalah cerita berdasarkan cara hidup kita pada zaman dahulu,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.
Buku berharga RM25 ini boleh didapati di Laman Seni, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Bangunan Wisma Budaya, Kota Kinabalu atau hubungi Anna Vivianne 01126883963.
Comments