top of page

Ewon turun padang tinjau tapak Rumah SMJ Mukim Kiau serta projek infrastruktur kampung

  • nabalunews
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

14 Februari 2026


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Eeon Benedick turun padang meninjau tapak Rumah SMJ di Mukim Kiau serta pelaksanaan beberapa projek infrastruktur kampung, hari ini.


Dalam lawatan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah mengunjungi dua keluarga di Kampung Kiau Nuluh dan Kampung Kiau Taburi yang memohon Rumah SMJ dan dibawa meninjau tapak yang telah tersedia bagi pembinaan rumah berkenaan.


Kedua-dua keluarga berkenaan tersenarai dalam daftar e-Kasih dan tinggal dalam keadaan sesak apabila rumah sedia ada dihuni sehingga 15 hingga 16 ahli keluarga yang tinggal sebumbung.


Beliau berharap pembinaan Rumah SMJ yang dijadualkan tahun ini akan memberi keselesaan serta meningkatkan kualiti kehidupan keluarga terbabit.


Selain itu, Ewan turut meninjau hasil pelaksanaan pembinaan saliran parit konkrit di kawasan perumahan Kampung Kiau Nuluh.


Pembinaan tersebut dilaksanakan di bawah Program Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi mengatasi masalah hakisan.


Beliau berkata usaha akan diteruskan bagi mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk membina saliran konkrit di perumahan kampung khususnya di kawasan perbukitan bagi mengelak hakisan serta menjamin keselamatan penduduk.


Dalam lawatan sama, Ewon turut menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 Kedai Kobujang Kampung Kiau Taburi.


Perusahaan kedai runcit berkonsepkan koperasi itu bermula dengan enam ahli dan kini berkembang kepada 50 ahli.


Modal asal sebanyak RM10, lima dekad lalu kini dianggarkan bernilai sekitar RM32,000 berdasarkan aset yang dimiliki.


Selain menyediakan perkhidmatan kedai runcit kepada penduduk kampung, perusahaan berkenaan turut berkembang dengan memiliki bangunan kedai di daerah lain serta mengusahakan perladangan kelapa sawit.


Koperasi tersebut juga menyediakan bantuan khairat kepada ahli-ahlinya.


“Saya berharap lebih banyak perusahaan berkonsepkan koperasi dapat dibangunkan oleh rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar bagi memperkukuh ekonomi komuniti setempat,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page