Experience Sabah 2.0 perkukuh hubungan perdagangan Sabah-Singapura

18 Ogos 2026
SINGAPURA: Penganjuran Experience Sabah 2.0 platform penting dalam memperluas pasaran produk tempatan Sabah ke Singapura, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dan sektor pelancongan antara kedua-dua pihak.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau berbangga melihat produk dan perkhidmatan syarikat tempatan Sabah semakin mendapat tempat dan berjaya menembusi pasaran Singapura.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan produk keluaran usahawan Sabah mempunyai potensi untuk bersaing dan memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.

“Pelbagai produk tempatan Sabah seperti tempe, avokado dan green honey adalah antara produk yang mendapat sambutan sepanjang Experience Sabah 2.0.
“Saya yakin menerusi inisiatif berterusan seperti ini, hubungan perdagangan antara Sabah dan Singapura dapat terus diperkukuhkan, selain membantu membangunkan lebih ramai usahawan tempatan Sabah yang berdaya saing dan mampu memenuhi kehendak pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Experience Sabah 2.0 di Marina Square, di sini, yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Ogos lalu.
Program itu dianjurkan oleh Sabah Trade and Tourism Office Singapore (STTOS), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET).
Ewon berkata, hubungan Sabah dan Singapura bukan sahaja menunjukkan perkembangan positif dari segi perdagangan, malah turut disokong oleh peningkatan kehadiran pelancong Singapura ke negeri ini.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, sebanyak 12,544 ketibaan pelancong dari Singapura ke Sabah direkodkan.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan potensi besar Sabah memperluas kerjasama dengan Singapura dalam sektor perdagangan, keusahawanan dan pelancongan.
Pada masa sama, beliau berharap Experience Sabah terus menjadi platform untuk memperkenalkan produk, perkhidmatan dan tarikan Sabah kepada masyarakat serta komuniti perniagaan di Singapura.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada STTOS serta semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan Experience Sabah 2.0.















Comments