top of page

Exploring Toxicology 3.0 Perkenal Pendekatan Satu Kesihatan Kepada Murid Sekolah Di Tuaran

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

23 Disember 2025


KOTA KINABALU: Program Exploring Toxicology 3.0 menjadi satu inisiatif dalam memperkenalkan pendekatan ‘Satu Kesihatan’ kepada murid sekolah rendah di daerah Tuaran menerusi pendedahan awal mengenai konsep toksikologi dan hubung kaitnya dengan kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar.


Program anjuran One Health Student Club (OSHC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berlangsung di Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu baru-baru ini dan melibatkan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pahu dan SK Rangalau.


Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Mohd Hanim Mohd Goss dalam ucapannya ketika menyempurnakan penutupan program tersebut berkata, penganjuran program seumpama itu diharap dapat meningkatkan kesedaran murid sekolah tentang kepentingan memahami bahan toksik dan kesannya terhadap kesihatan manusia serta alam sekitar

ree

“Program ini bukan sekadar program STEM biasa, malah berperanan sebagai platform penting dalam memperkenalkan dunia toksikologi, keselamatan bahan di sekeliling kita serta pendekatan Satu Kesihatan kepada generasi muda.” katanya


“Pendekatan Satu Kesihatan yang melihat hubungan rapat antara kesihatan manusia, kesihatan haiwan dan kelestarian alam sekitar amat relevan dengan cabaran dunia hari ini,” katanya.


Sementara itu, Presiden Malaysia Society of Toxicology (MySOT), Dr. Rozaini Abdullah berkata penganjuran Exploring Toxicology 3.0 merupakan satu langkah signifikan ke arah penyediaan pendidikan berkualiti kepada pelajar selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).


“Tahun ini merupakan kali ketiga program ini dianjurkan di Sabah, dan kami berbangga melihat minat pelajar dan guru yang semakin meningkat terhadap bidang ini.


“Bagi edisi kali ini, pertandingan inovasi berasaskan konsep toksikologi turut diperkenalkan bagi menggalakkan kreativiti serta meningkatkan pemahaman pelajar tentang kesan bahan kimia terhadap kesihatan dan alam sekitar,” tambah beliau.


Dalam pada itu, salah seorang pelajar SK Rangalau, Alexius Gunsalam menyatakan perasaan gembiranya kerana mendapat manfaat daripada program tersebut.


“Saya sangat gembira kerana dapat belajar bersama dengan rakan-rakan tentang toksikologi, cara melindungi diri daripada bahan kimia dan cara membezakan bahan toksik,” katanya.


Bertemakan ‘Exploring Toxicology 3.0: Navigating Health and Environment’, program tersebut merupakan hasil usaha sama antara MySOT, Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Pusat U-Science UMS serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah.


Turut hadir pada program tersebut Timbalan Presiden MySOT, Profesor Madya Ts. Dr. Razinah Sharif; Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Fiona Hagan; Pengarah U-Science UMS, Zawawi Tiyunin; Penasihat OSHC, Profesor Madya Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, serta Guru Besar SK Rangalau dan SK Pahu, masing-masing Salmah Haji Jamman dan Bahrain Abd Talil.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page