top of page
  • Wartawan Nabalu News

Fahmi Fadzil: Keputusan mahkamah Perancis matikan usaha kumpulan Sulu rampas aset negara


8 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang memihak kepada Malaysia dalam pertikaian undang-undang berkaitan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu bermakna kumpulan tersebut tidak boleh menggunakan mahkamah di luar negara untuk mengganggu gugat kedaulatan negara.


"Ini (keputusan mahkamah semalam) dengan secara muktamadnya mematikan segala usaha mereka (kumpulan Sulu), untuk cuba merampas aset negara.


"Saya percaya dengan keputusan ini, di negara-negara lain juga, terutamanya di rantau Eropah, akan tidak membenarkan mahkamah mereka digunakan sebagai platform (sewenang-wenangnya) oleh pihak tidak bertanggungjawab... dan seterusnya menjamin keselamatan aset (negara) kita," katanya pada Rabu.


Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan berkata, Malaysia juga akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan ganti rugi daripada kumpulan Sulu itu dan pihak yang menyokong mereka.


"Kita akan berusaha habis-habisan untuk memastikan cerita sebenar disampaikan dan kita akan saman mereka. Kita akan lakukan apa yang perlu untuk menuntut semua kos yang kita terpaksa hadapi," katanya.

Kommentare


bottom of page