Felix Tawarkan Agenda Sabah First, Keusahawanan & Integriti Teras Kepimpinan Pemuda UPKO
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 6 Ogos – Calon Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Pusat, Felix Joseph Saang, hari ini menawarkan agenda kepimpinan baharu berpaksikan perjuangan Sabah First, pemerkasaan ekonomi belia, pengukuhan organisasi akar umbi, serta pembinaan budaya politik berintegriti dan berprinsip sempena pemilihan Pergerakan Pemuda parti berkenaan.
Membawa slogan "Progresif, Berintegriti, Berprinsip", Felix menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda perlu bergerak melangkaui peranan tradisional sebagai jentera pilihan raya untuk muncul sebagai pemacu dasar, pembangunan belia dan khidmat masyarakat yang memberi impak langsung kepada rakyat Sabah.
Felix berkata agenda Sabah First akan terus menjadi teras perjuangannya, termasuk memperjuangkan pelaksanaan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak kewangan negeri seperti tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan, serta perkara-perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia.
"Sabah First bukan sekadar slogan politik. Ia adalah komitmen untuk memastikan hak, kepentingan dan masa depan Sabah sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan tindakan politik yang kita perjuangkan," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda perlu menjadi suara yang berani mempertahankan hak negeri, di samping menjadi rakan strategik kepada kepimpinan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Dalam aspek pembangunan ekonomi, Felix menyatakan hasratnya menjadikan Pergerakan Pemuda sebagai jambatan yang menghubungkan usahawan muda dengan peluang disediakan kerajaan, khususnya melalui kerjasama bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MINDET) yang diterajui Presiden UPKO.
"Pemuda tidak boleh hanya menunggu peluang. Kita mesti membuka pintu peluang. Peranan Pemuda ialah menjadi penghubung kepada latihan, pembiayaan, pembangunan perusahaan dan rangkaian keusahawanan supaya lebih ramai anak muda Sabah mampu membina ekonomi mereka sendiri," ujarnya.
Mengenai integriti dan prinsip perjuangan, Felix mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kepercayaan rakyat yang hanya lahir apabila kepimpinan berpegang kepada prinsip, telus dalam tindakan dan konsisten dalam perjuangan.
"Kita boleh berbeza pandangan, tetapi kita tidak boleh menggadaikan integriti," tegasnya.
Selain itu, beliau juga beriltizam memperkasakan Pergerakan Pemuda di semua Bahagian dengan memperluaskan penyertaan anak muda dalam latihan kepimpinan, pembangunan organisasi dan program kemasyarakatan secara berterusan, bukan hanya ketika musim pemilihan atau pilihan raya semata-mata.
"Pemuda mesti berada bersama rakyat. Kita perlu hadir mendengar, membantu dan menyelesaikan masalah masyarakat. Politik yang terbaik ialah politik yang membawa manfaat kepada rakyat," katanya.
Pemilihan Pergerakan Pemuda UPKO kali ini dijangka menjadi penentu kepada pembentukan barisan kepimpinan pelapis parti, di tengah-tengah usaha UPKO memperkukuhkan agenda pembangunan Sabah dan memperluaskan peranannya sebagai parti yang mengangkat kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Felix yang membawa tema "Progresif, Berintegriti, Berprinsip" berharap dapat meraih kepercayaan perwakilan untuk menerajui Pergerakan Pemuda UPKO sebagai wadah pemangkin masa depan Sabah yang lebih maju dan inklusif.











