top of page
Wartawan Nabalu News

Forum Perdana tambah pengetahuan masyarakat punca masalah PTI di Sabah: Billy Joe



15 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Usaha Pakatan Harapan (PH) menganjurkan Forum Perdana Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) Di Sabah amat baik untuk menambah pengetahuan masyarakat umum mengenai permasalahan warga asing di negeri ini.


Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominic berkata, forum ini juga dapat membuka minda dan memberikan cadangan penyelesaian terbaik untuk empat kategori warga asing di Sabah.


“Saya tertarik dengan pendedahan hansard mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 26 Febuari 2007 dimana kenyataan salah seorang saksi, Jabar khan telah mendedahkan seseorang sebagai pengerusi Task Force UMNO memberikan kad pengenalan kepada warga asing.


“Jika kerajaan Sabah yang diketuai oleh PPBM dan UMNO ikhlas dan benar-benar mahu menyelesaikan masalah ini. Saya ingin mencabar pemimpin Umno Sabah yang ada sekarang supaya mendedahkan mereka yang ditugaskan dalam pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing (seperti disebut Jabar Khan dalam JK Khas Parlimen),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Billy Joe berkata, sebelum ini, kesungguhan UMNO/ GRS menyelesaikan masalah ini dapat dilihat melalui ketegasan mereka menentang pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada warga asing di Sabah.


“Ketika menjadi pembangkang mereka menggunakan isu ini menuduh kerajaan Warisan Plus memberikan kad pengenalan kepada warga asing. Tetapi pada hari ini mereka pula ingin memberikan Kad Pengenalan Digital kepada warga asing di Sabah,” katanya.


Beliau berkata, penyelesaian yang diambil itu hanya untuk kategori warga asing pemegang dokumen IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci.


“Bagaimana pula dengan kategori Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan? PTI yang sering keluar masuk dari Sabah? Dan mereka yang mendapat Kad Pengenalan secara salah dan meragukan?


“Apakah solusi dan cadangan kerajaan yang diketuai oleh PPBM GRS dan UMNO BN terhadap permasalahan ini?,” tanya Billy Joe.


Berkenaan, kenaikan kos harga barang, Billy Joe berharap Datuk Dr.Jeffry Kitingan (Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah) lebih memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah itu daripada warga asing.


“Saya difahamkan satu jawatankuasa akan ditubuhkan oleh kerajaan Sabah untuk menangani permasalahan warga asing di Sabah. Jawatankuasa ini bakal dipengerusikan oleh Datuk Dr.Jeffry.


“Bagi saya lebih baik Dr.Jeffrey fokus kepada perkara kenaikan harga barangan kerana ia lebih mendesak ketika ini dan selaras dengan portfolio beliau sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan.


“Lantiklah orang lain mengetuai jawatankuasa untuk menangani permasalahan warga asing di Sabah,” katanya.

Comments


bottom of page