Gadis 14 Tahun Hilang Selepas Keluar Rumah di Kota Marudu
- nabalunews
- 19 minutes ago
- 1 min read

8 Disember 2025
KOTA MARUDU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Kampung Kerongkom Laut, di sini, pada malam Isnin lalu.
Angelia Filex, pelajar Tingkatan 3 di SMK Selaping, didapati tidak pulang ke rumah sejak kira-kira jam 7 malam, 6 Disember lalu.
Bapanya, Tanis Polinam, 49 tahun, seorang nelayan, menyatakan bahawa keluarga mula cemas apabila anaknya tidak muncul sehingga keesokan harinya, lalu membuat laporan polis di Balai Polis Kota Marudu pada jam 3.17 petang hari ini.
Sarjan Stephen Wan, pegawai yang mengetuai operasi pencarian, menggesa kerjasama orang ramai terutama mereka yang berada di sekitar Kota Marudu dan Pitas untuk melaporkan sebarang maklumat yang berkaitan.
Beliau menambah, orang ramai boleh menghubunginya melalui talian 019-4695081 sekiranya ada sebarang maklumat mengenainya.
Polis turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebar maklumat yang tidak disahkan berhubung kes kehilangan itu bagi mengelakkan ketidakstabilan emosi keluarga dan gangguan kepada siasatan.
Keluarga Angelia pula merayu kepada orang ramai agar turut mendoakan keselamatan anak mereka dan berharap dia kembali dengan selamat.
Setakat ini, usaha pencarian dan siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.














