Gagal Bayar PTPTN: Kerajaan Pertimbang Kenakan Semula Sekatan Perjalanan
- nabalunews
- Mar 11
- 1 min read

11 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kaedah itu antara langkah yang sedang dipertimbangkan kerajaan bagi memperkasakan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN.
Katanya, sekatan perjalanan yang dilakukan sebelum ini telah memberikan impak yang agak baik dalam proses pembayaran balik, cuma selepas itu dimansuhkan.
“Ianya masih dalam pertimbangan. Kita belum putuskan sama ada guna semula pendekatan ini atau tidak,” katanya pada sidang Dewan Negara pada Isnin.
Mustapha menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk mengembalikan larangan perjalanan yang telah dimansuhkan pada tahun 2018.
Katanya, sehingga 31 Dis lalu sebanyak 4,108,625 pinjaman PTPTN telah diluluskan dan seramai 2,448,105 atau 86.45 peratus peminjam telah mula membayar balik pinjaman mereka setakat ini.
“Jumlah ini termasuk 1,044,595 peminjam yang telah selesai membayar balik pinjaman mereka.
“Seramai 585,638 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten dan tiada tunggakan bayaran manakala 817,872 peminjam membuat bayaran balik secara tidak konsisten dan mempunyai tunggakan," katanya.
Menurutnya, 383,637 atau 13.55 peratus peminjam PTPTN tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman.
Sehubungan itu, Mustapha berkata, peminjam yang tidak mampu digalakkan datang ke pejabat PTPTN terdekat untuk berbincang.
“Kita boleh strukturkan bayaran balik berkenaan. Kita tidak bersifat punitif. Kita terbuka dan akan pastikan kaedah bayaran balik itu akan dibincangkan sebaiknya untuk memudahkan semua pihak,” katanya.
Comments