Gajah Terperangkap Dalam Tangki Kumbahan
- nabalunews
 - 5 hours ago
 - 1 min read
 

4 November 2025
LAHAD DATU: Seekor gajah liar ditemui mati selepas dipercayai terperangkap di dalam lubang bawah tanah tangki kumbahan lama dalam kejadian di kawasan Danum Valley Field Centre (DVFC), di sini, 31 Okt lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) menegaskan, sebaik menerima maklumat, sepasukan petugas terus dikerah yang bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Katanya, pasukan JHL mendapati haiwan berkenaan masih hidup dan usaha menyelamatkan haiwan berkenaan terus dijalankan.
“Bagaimanapun, usaha itu terpaksa dihentikan apabila sekumpulan gajah liar lain muncul berhampiran kawasan berkenaan.
“Ia menyebabkan keadaan petugas operasi menyelamat tidak selamat untuk diteruskan dan terpaksa dihentikan,”katanya dalam kenyataan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan semula di lokasi sekitar jam 1 tengah hari keesokan harinya mendapati gajah berkenaan sudah mati.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kesan luka atau tanda-tanda kecederaan mencurigakan pada tubuh haiwan terbabit.
“Proses pengebumian bangkai dilakukan di kawasan DVFC mengikut prosedur operasi standard JHL bermula jam 5.15 petang dan selesai kira-kira jam 6.40 petang.
“Ia dilakukan di bawah seliaan Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu.
“Siasatan awal mendapati kematian berpunca daripada struktur tangki kumbahan lama yang tidak ditutup sepenuhnya, sekali gus mengundang risiko kepada haiwan liar di kawasan konservasi berkenaan,”katanya.
Sehubungan itu, katanya, kejadian itu merupakan insiden pertama melibatkan kematian gajah di Danum Valley tahun ini.
Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Lain Jabatan (ROA) dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.


















Comments