top of page

GEM UPKO Tuaran sokong pendirian Madius mengenai RUU Makanan (Pindaan) 2026

nabalunews
1 hour ago
2 min read

8 Oktober 2026


KOTA KINABALU: Generasi Muda (GEM) UPKO Tuaran menyokong penuh pendirian Ahli Parlimen Tuaran dan ADUN Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berhubung persoalan pematuhan tatacara Perlembagaan Persekutuan dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026.


Timbalan Ketua GEM UPKO Tuaran, Chin Guan Rong, berkata antara persoalan yang dibangkitkan Madius ialah sama ada Perkara 79 Perlembagaan Persekutuan terpakai kepada RUU berkenaan.


“Sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 ini terpakai, adakah segala prosedur yang digariskan dalam Perkara 79 telah dipatuhi sepenuhnya dan sama ada Kerajaan Sabah serta Sarawak telah dirunding secara rasmi?” kata Chin dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini.


Menurut kenyataan itu, Madius turut mendedahkan bahawa Peguam Besar Sabah mengesahkan Kerajaan Sabah belum dirunding mengenai RUU Makanan (Pindaan) 2026.


GEM UPKO Tuaran menjelaskan bahawa walaupun kawalan makanan berada di bawah Senarai Persekutuan seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, aspek kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit berkaitan makanan turut termasuk dalam Butiran 7 Senarai Bersama Jadual Kesembilan.


“Hal-hal ini juga melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mana PBT di Sabah dan Sarawak dikawal selia oleh undang-undang negeri masing-masing, termasuk Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 di Sabah,” jelas kenyataan itu.


Sehubungan itu, GEM UPKO Tuaran menuntut RUU Makanan (Pindaan) 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk membolehkan Kerajaan Sabah dan Sarawak memberikan pandangan terhadap RUU tersebut seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Tuaran.


GEM UPKO Tuaran menegaskan perkara itu bukan soal politik atau menolak usaha memperkasakan keselamatan makanan, tetapi soal mematuhi tatacara Perlembagaan Persekutuan.


“Undang-undang yang kukuh dan berkesan hanya akan membawa hasil positif apabila proses perundangannya dipatuhi serta dihormat,” katanya.


Kenyataan itu turut menyebut bahawa Perkara 79(1) memperuntukkan pegawai pengurusi wajib memperakui mana-mana RUU atau pindaan yang melibatkan Senarai Bersama atau Senarai Negeri yang fungsinya dijalankan oleh Persekutuan, manakala Perkara 79(2) menetapkan RUU yang telah diperakui mesti ditangguhkan selama empat minggu selepas disiarkan dan hanya boleh dibentangkan lebih awal atas alasan terdesak sekiranya Kerajaan Negeri atau Persekutuan yang berkenaan telah dirunding.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page