top of page

Hab PMKS Sabah perkasa sektor keusahawanan negeri

  • nabalunews
  • May 3
  • 2 min read

3 Mei 2025


PENAMPANG: Penubuhan Hab PMKS Sabah dilihat sebagai inisiatif strategik untuk memperkasa sektor keusahawanan menerusi akses kepada peluang perniagaan, rangkaian kerjasama dan sokongan pembangunan yang menyeluruh.


Pengerusi SME Corp Malaysia (SME Corp), Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata, ia akan memperkukuhkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk terus maju dalam dunia keusahawanan yang semakin kompetitif.


Katanya, SME Corp di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) menjadi pemacu utama dalam menyelaras program bagi meningkatkan daya saing PMKS di seluruh negara.

Bernard (kedua Dari Kiri) bersama Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick pada acara tersebut
Bernard (kedua Dari Kiri) bersama Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick pada acara tersebut

"Pembukaan Hab PMKS dan pejabat baharu SME Corp di Penampang merupakan langkah berani bagi memastikan PMKS Sabah memiliki pusat perkhidmatan yang lebih terancang dan efektif.


"Dengan pemilihan lokasi strategik ini, kita meletakkan PMKS lebih dekat dengan akses pasaran dan peluang pembangunan yang lebih besar, sejajar dengan kepentingan Pan Borneo sebagai nadi jaringan ekonomi antara daerah," katanya.


Bernard berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Pembukaan Hab PMKS dan Pejabat Baharu SME Corp yang disempurnakan oleh Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, di sini hari ini.


Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia 2023, sebanyak 6.8 peratus atau 74,455 PMKS Sabah dicatatkan daripada jumlah keseluruhan 1,101,725 PMKS seluruh negara.


Dalam pada itu, katanya, dari tahun 2021 hingga Mac 2025, SME Corp telah melaksanakan pelbagai program untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan termasuk Program BEEP 2.0, dengan pemberian bantuan sebanyak RM124.1 juta kepada 1,028 penerima.


"Di Sabah sahaja, program ini telah membantu 40 usahawan dengan nilai agihan sebanyak RM7.1 juta, menunjukkan komitmen berterusan dalam mengukuhkan keusahawanan di negeri ini.


"Selain itu, inisiatif BEEP Plus yang diperkenalkan pada tahun 2023 telah berjaya membantu 91 usahawan Sabah dengan dana sebanyak RM8.29 juta untuk memberi peluang kepada mereka memperluaskan perniagaan serta meningkatkan daya saing," katanya.


Bernard berkata, SME Corp juga telah berjaya melahirkan 8,543 usahawan belia Bumiputera, termasuk 1,658 dari Sabah yang menerima geran berjumlah RM24.62 juta daripada keseluruhan dana sebanyak RM124.84 juta.


Katanya, SME Corp akan terus memantau perkembangan usahawan serta menyediakan bantuan yang diperlukan bagi memastikan ekosistem perniagaan di Malaysia berkembang secara mampan dan berdaya saing.


"SME Corp juga akan terus menjadi rakan strategik kepada PMKS Sabah, membantu mereka untuk meningkatkan skala operasi, meneroka pasaran baru, mengadaptasi teknologi dan mengukuhkan daya tahan perniagaan," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page