top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hajiji dapat sokongan 44 ADUN untuk terus kekal Ketua Menteri Sabah

8 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya mempunyai sokongan majoriti membabitkan seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.


Pengerusi GRS itu mendakwa dengan bilangan sokongan itu, kerajaan sedia ada bawah pimpinannya masih kukuh untuk terus mentadbir negeri ini.


"Kita mempunyai sokongan majoriti dengan seramai 44 Adun di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bermakna kerajaan sedia ada yang saya pimpin ini masih utuh serta kuat dan akan terus mentadbir Sabah," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ADUN terbabit.


Daripada 44 Adun yang memberi sokongan kepada Hajiji, 29 Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tujuh Pakatan Harapan (PH) Sabah dan lima Adun UMNO.


Selain itu, masing-masing seorang Adun dilantik mewakili PAS, Adun Bebas dan Adun Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).


Lima Adun Umno itu adalah yang tidak menyertai tindakan menarik balik sokongan kepada pentadbiran pimpinan Hajiji yang digerakkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

bottom of page