Hajiji pesan ambil iktibar kes guru tidak hadir mengajar, disaman pelajar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hajiji pesan ambil iktibar kes guru tidak hadir mengajar, disaman pelajar


2 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata semua guru di negeri itu, harus mengambil pengajaran berhubung kes seorang guru yang disaman oleh pelajar sendiri kerana tidak hadir mengajar selama tujuh bulan agar kejadian itu tidak berulang lagi.


Hajiji berkata, beliau kecewa dengan kes yang berlaku di sebuah sekolah di Kota Belud pada 2017 itu, dan menekankan bahawa setiap guru bertanggungjawab untuk memberi pendidikan berkualiti kepada pelajar.


"Apa yang penting ialah memberi ilmu pengetahuan dan pembelajaran kepada anak-anak di sekolah, kerana pendidikan amat penting. Kita tidak mahu mereka ketinggalan dan rugi dalam pembelajaran di sekolah," katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Kota Kinabalu semalam.


Pada Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, dibayar pampasan masing-masing RM50,000 atas kegagalan guru Bahasa Inggeris hadir ke kelas.


Dalam pada itu, Hajiji juga menyuarakan keprihatinannya terhadap isu ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sabah, yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu.


Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, hanya seramai 34,461 pelajar daripada 40,147 yang mendaftar sebagai calon SPM di Sabah, menduduki peperiksaan berkenaan.


"Saya memberi perhatian serius terhadap isu ini di Sabah, kerana SPM ialah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak kita, atau sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi," katanya.


Pengarah Pendidikan Sabah Raisin Saidin berkata, antara faktor penyumbang kepada ketidakhadiran calon SPM itu adalah pelajar berhenti sekolah dan berdepan masalah disiplin.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page