top of page

Hak 40 peratus Sabah: Enggan laksana perintah mahkamah hina institusi kehakiman – Madius

  • nabalunews
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

6 Mac 2026


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyifatkan keengganan Kerajaan Persekutuan melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan hak 40 peratus Sabah sebagai “penghinaan halus” terhadap institusi kehakiman.


Beliau berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan Notis Usul (Notice of Motion) untuk menangguhkan pelaksanaan perintah berkenaan memperlihatkan corak “ketidakhikhlasan” yang nyata dalam menangani isu hak perlembagaan Sabah.


Madius dalam hantaran Facebook beliau turut mendedahkan dokumen Notis Usul tersebut dan menyifatkannya sebagai dokumen yang sangat mengecewakan.


“Satu dokumen yang sangat mengecewakan telah sampai ke tangan saya hari ini. Saya terpanggil untuk mendedahkan perkara ini kerana ia melibatkan maruah dan hak perlembagaan kita semua seluruh rakyat Sabah.


“Mahkamah Tinggi telah pun mendengar hujah, namun Kerajaan Persekutuan seolah-olah tidak mahu menerima hakikat bahawa undang-undang iaitu Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan menyebelahi Sabah,” katanya.


Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, dokumen Notis Usul itu difailkan oleh Kerajaan Persekutuan pada Februari 2026.


Menerusi Notis Usul tersebut, Kerajaan Persekutuan memohon supaya pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan Geran Khas 40 peratus ditangguhkan.


Ujarnya, tindakan itu juga menimbulkan persoalan memandangkan Perdana Menteri pada 11 November 2025 menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, bukannya atas keputusan tuntutan hak 40 peratus tersebut.


“Kita memang sudah merasakan ada sesuatu yang tidak masuk akal dalam rayuan itu. Walaupun ia dinafikan berkali-kali, tetapi akhirnya niat sebenar mereka itu telah terbukti apabila menghantar notis usul ini.


“Di depan rakyat mereka berjanji, tetapi di belakang tabir mereka menggunakan segala ruang teknikal untuk menghalang hak 40 peratus Sabah ini daripada dilunaskan segera,” katanya lagi.


Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara sepenting itu difailkan tanpa sebarang pemakluman umum kepada rakyat Sabah sekiranya kerajaan benar-benar komited untuk memulangkan hak negeri.


Dalam pada itu, Madius sekali lagi menegaskan isu tersebut bukan soal politik sebaliknya berkaitan hak yang telah termaktub dalam perlembagaan serta dipersetujui melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Sabah menuntut keadilan. Mahkamah telah mengeluarkan perintah, Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong juga sudah bertitah, tinggal hanya kerajaan perlu laksanakan sahaja,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page