top of page

Hampir 2,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Orang Muda semangat “Sabah First” di Kota Marudu

  • nabalunews
  • 11 minutes ago
  • 2 min read
ree

27 Nov 2025


KOTA MARUDU: Sabah First atau mendahulukan kepentingan Sabah bukan sekadar slogan bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sebaliknya ia telah membangkitkan semangat dalam diri rakyat, khususnya golongan muda.


Ini terbukti apabila hampir 2,000 anak muda hadir dalam Himpunan Kebangkitan Orang Muda: Sabah First yang diadakan di Dewan Tokong Kota Marudu, semalam.


Program itu adalah sebahagian daripada Jelajah #SabahFirst yang diketuai Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, bagi memberikan sokongan kepada dua calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau Suzie Salapan, dan Jamil Majingkin, calon UPKO bagi kerusi DUN Tandek.


“Terima kasih kepada warga Kota Marudu yang hadir. Semangat merdeka benar-benar memuncak di Bandau! Dengan berkat dan sokongan rakyat, Suzie dan Jamil boleh menjadi wakil rakyat bagi menjayakan agenda Sabah First,” kata Ewon dalam ucapannya.

ree

Beliau turut menegaskan perjuangan Sabah First adalah perjuangan memartabatkan hak-hak rakyat Sabah, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.


“Pilihan raya ini bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi memilih pemimpin yang benar-benar memahami aspirasi dan impian rakyat berlandaskan prinsip Sabah First.


“Banyak parti yang bertanding tetapi pilihlah parti-parti tempatan yang berprinsip dan benar-benar memperjuang dan mempertahankan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutamanya tuntutan 40 peratus Sabah,” katanya.


Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui pada himpunan itu berkata beliau hadir khusus untuk mendengar ucapan Presiden UPKO yang disifatkannya sebagai pemimpin muda berprinsip dan berani.


“Saya bukan ahli UPKO, tetapi hati saya terbuka untuk menyertai dan menyokong UPKO kerana saya bangga masih ada pemimpin Sabah yang sanggup mengorbankan jawatan demi mempertahankan hak-hak Sabah.

ree

“Inilah pemimpin yang kita mahu untuk menerajui kerajaan negeri Sabah. Sebab itu saya datang untuk memberi sokongan padu kepada calon Bandau, Suzie Salapan, dan saya berharap Suzie dan semua calon UPKO di 25 kerusi seluruh Sabah menang pada pilihan raya kali ini,” katanya.


Himpunan itu memperlihatkan semangat dan sokongan padu masyarakat setempat yang mahu melihat lebih ramai pemimpin Sabah bangkit membawa suara dan menuntut hak Sabah.


Sebelum ini Ewon telah mengadakan siri Jelajah Sabah First dari kampung ke kampung merentasi pelbagai daerah di kesemua kawasan calon parti itu bertanding pada pilihan raya ini.


Siri jelajah itu dimulakan pada 16 November lalu, bermula di Membakut, Limbahau, Petagas dan Tanjung Keramat, sebelum meneruskan perjalanan ke Melalap, Bingkor, Liawan, Tulid dan Nabawan pada 17 November.

ree

Pada 18 November, Ewon meneruskan program di Kuamut, Telupid dan Labuk, sementara pada 19 November beliau meneruskan jelajah Sabah First ke Bengkoka, Tandek dan Bandau.


Jelajah diteruskan di Kiulu, Tamparuli, Inanam dan Kapayan pada 21 November. Seterusnya di Gum Gum Sandakan pada 25 November dan hari ini (27 November) di Ranau dan Kundasang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page