Hari Bumi Tuaran sasar untuk dimasukkan Malaysia Books of Records
- nabalunews
- Apr 4
- 1 min read

4 April 2025
TUARAN: Sambutan Hari Bumi Tuaran 2025 yang bakal diadakan 22 April depan, disasarkan untuk dimasukkan ke Malaysian Book of Records (MBOR).
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Bumi Tuaran 2025, Datuk Seri Madius Tangau berkata, rekod disasarkan adalah penanaman pokok liposu terbanyak iaitu sebanyak 8,000 pokok serta penanaman pokok secara serentak terbanyak.
Katanya, ianya akan melibatkan penanaman sebanyak 61,000 anak pokok pelbagai jenis membabitkan hampir 29,000 pelajar daripada 85 buah sekolah di Daerah Pendidikan Tuaran (PPD Tuaran)

“Kami menyasarkan untuk menanam 8,000 anak pokok liposu tahun ini dan berusaha untuk mencatatkan rekod dalam MBOR atas nama PPD Tuaran.
“Ini adalah tambahan kepada 52,000 anak pokok lain daripada pelbagai spesies termasuk pokok bakau, Bahab, Pangi, Tarap, dan beberapa spesies lain.
“Pokok bakau akan ditanam terutamanya di kawasan Sulaman yang melibatkan sekolah-sekolah di Zon Mengkabong dan Sulaman,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, semua enam zon di PPD Tuaran terlibat dalam penyediaan anak pokok dan akan dibantu oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tuaran dengan penyertaan aktif dari 20 kampung di kawasan Kiulu.
Katanya, walaupun pelancaran sambutan tersebut akan diadakan pada 22 April 2025, aktiviti penanaman pokok termasuk Liposu akan dimulakan lebih awal, iaitu pada 17 April 2025.
Menurutnya, Sambutan Hari Bumi Peringkat Daerah Tuaran ini dapat direalisasikan melalui sumbangan daripada sektor korporat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) masing-masing.
“Sumbangan ini telah membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar, khususnya keperluan menanam pokok, mengurangkan penebangan pokok serta meratakan bukit sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengurangkan risiko banjir.
“Saya optimis bahawa program ini akan membawa manfaat besar , terutama dengan adanya kerjasama daripada pelbagai pihak,” katanya.
Comentarios