Hari Keluarga Sinakagan Disambut Meriah
- nabalunews
- 5 days ago
- 1 min read

2 Jun 2025
KOTA BELUD : Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Juin Kolod dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N11, telah merasmikan sambutan Hari Keluarga Sinakagan yang berlangsung penuh meriah di Kampung Minangkob, Mukim Kelawat.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan Sinakagan Gambila bagi pihak Datuk Ewon Benedick.
Acara dimulakan dengan sesi Renungan Pagi, sebuah pengisian kerohanian yang memberi kesan mendalam kepada para peserta. Ia diikuti dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, cabutan bertuah serta sesi bergambar mengikut kumpulan Raan dan generasi, antaranya Raan Mogiling, Raan Kondoging, Raan Binaas, Raan Rangkig, Raan Ginturun dan Raan Runggan, yang menambah kemeriahan suasana.

Tema Hari Keluarga Sinakagan kali ini ialah “Popogirot Pogiompinaian”, dengan slogan 3O iaitu “Olisi, Osompuruh, Opuahang”, yang menyeru seluruh ahli keluarga dan komuniti agar terus bersatu padu dalam usaha membina masa depan yang lebih cemerlang dan harmoni. Majlis turut menyaksikan pelancaran Tabung Kebajikan Sinakagan Gambila sebagai simbolik komitmen berterusan terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Sambutan ditutup dengan sesi karaoke santai yang bukan sahaja menceriakan suasana, tetapi turut mengeratkan hubungan kekeluargaan merentas generasi. Hari Keluarga Sinakagan kali ke-6 ini jelas menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat perpaduan serta mengekalkan warisan budaya dalam kalangan penduduk kampung.
Comments