Hillsong Worship pilih Kota Kinabalu lokasi konsert sulung di Sabah 13 Sept depan
- nabalunews
- Jul 30
- 1 min read

KOTA KINABALU, 30 Julai – Kumpulan muzik ibadah Kristian terkenal dunia, Hillsong Worship, bakal mengadakan persembahan sulung di Sabah menerusi Hillsong Worship Nights Asia Tour 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 13 September depan.
Persembahan itu merupakan penampilan pertama kumpulan berkenaan di negeri ini selepas lebih tiga dekad menghasilkan lagu-lagu pujian yang mendapat sambutan meluas di seluruh dunia.
Jelajah Asia 2026 akan bermula di Kuala Lumpur pada 9 September sebelum diteruskan ke Kota Kinabalu. Siri jelajah itu kemudian akan singgah di Surabaya, Singapura, Cebu dan Manila.
Dalam satu kenyataan, Hillsong Worship berkata setiap persembahan bukan sekadar menghimpunkan peminat untuk menyanyikan lagu-lagu pujian, sebaliknya menjadi ruang untuk berkongsi harapan, pemulihan dan penyatuan.
Kumpulan yang berpangkalan di Sydney, Australia itu terkenal menerusi lagu-lagu seperti Shout to the Lord, Mighty to Save, Hosanna dan What a Beautiful Name, yang menjadi antara lagu pujian paling banyak dinyanyikan di gereja di seluruh dunia.
Sepanjang lebih 30 tahun berkarya, Hillsong Worship membina pengaruh global menerusi lirik yang berteraskan kitab suci serta melodi yang dekat di hati pendengar.
Persembahan mereka turut dikenali kerana menggabungkan elemen visual bertaraf antarabangsa dengan penyampaian muzik yang intim, sekali gus mewujudkan pengalaman ibadah yang bermakna.
Penganjur menjangkakan konsert di Kota Kinabalu akan menarik kehadiran pengunjung dari Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia dan selatan Filipina berikutan kedudukan strategik bandar raya ini.
Selain mengukuhkan kedudukan Kota Kinabalu sebagai destinasi penganjuran acara bertaraf antarabangsa, konsert itu juga dijangka memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Tiket bagi Hillsong Worship Nights Asia Tour 2026 boleh didapati menerusi platform rasmi penganjur, Star Planet.















Comments