top of page

Penjelasan mengenai status pelaksanaan 13 projek JALB Sabah yang ditangguhkan SST penting – Ewon

nabalunews
20 minutes ago
2 min read

30 Oktober 2026


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, lanjut mengenai status pelaksanaan 13 projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah yang ditangguhkan Surat Setuju Terima (SST) penting bagi memberikan kepastian sama ada projek berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya.


Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, penjelasan tambahan masih diperlukan meskipun perkara itu telah disentuh oleh Menteri Kewangan II dalam penggulungan Belanjawan 2027 dan sebelumnya oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.


“Apa pun penjelasan, saya fikir Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat Sabah, rakyat Sarawak serta rakyat Semenanjung juga memerlukan penjelasan tambahan.


“Bagi saya selaku Ahli Parlimen Penampang, kita mahu penjelasan tentang status 13 projek yang Surat Setuju Terimanya ditangguhkan. Apa status jalan ini sekarang?


“Saya telah bertanya sama ada ia dibatalkan atau dibawa ke tahun berikutnya untuk pelaksanaan, tetapi belum ada penjelasan setakat ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan projek naik taraf Jalan Terian dan Jalan Buayan, di sini, hari ini.


Ewon berkata, projek berkenaan perlu diteruskan kerana telah lama dirancang dan dikemukakan oleh pelbagai pihak, termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta wakil rakyat.


“Pada saya, kita mahu projek ini diteruskan sama ada tahun hadapan ataupun tahun yang berikutnya kerana kita sudah lama merancang. Unit Perancang Ekonomi Negeri, JKR dan wakil-wakil rakyat telah mengemukakannya banyak kali dalam pelbagai platform.


“Jadi, kita tidak boleh pinggirkan hak rakyat yang menanti kemudahan jalan raya luar bandar,” katanya.


Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak kementerian berkaitan bagi memperjelas status projek yang terlibat dalam penangguhan SST.


Katanya, perkara itu bukan sahaja melibatkan Sabah, malah turut memberi kesan kepada projek di Sarawak dan Semenanjung.


Ewon berkata, sekiranya projek yang telah diluluskan itu tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini disebabkan kekangan peruntukan, keutamaan sewajarnya diberikan untuk pelaksanaannya pada tahun hadapan.


“Kita mahu projek yang telah dipersetujui dan diluluskan ini dapat diteruskan. Kalau tidak pada tahun ini kerana faktor peruntukan, sepatutnya ada ruang untuk diberikan keutamaan bagi dilaksanakan pada tahun hadapan.


“Ini pendirian dan pandangan saya selaku Ahli Parlimen Penampang, yang juga bercakap mewakili kawasan saya (Kadamaian) kerana ada satu projek jalan luar bandar yang terkesan akibat penangguhan SST,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page