top of page

Komuniti Taginambur Diperkasa Sokong Individu Berdepan Isu Kesihatan Mental

nabalunews
1 day ago
1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


28 Oktober 2026


KOTA BELUD — Seramai 30 penduduk Mukim Taginambur menyertai Program Komuniti Prihatin di Mini Dewan Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian Piasau hari ini, dengan tumpuan memperkukuh peranan komuniti dalam menyokong individu yang berdepan masalah kesihatan mental serta menghapuskan stigma.


Program anjuran APPGM-SDG bersama Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian itu dilaksanakan selaras dengan SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan. Tema “Komuniti Sihat, Masyarakat Sejahtera” dan teras “Dengar, Faham, Sokong, Bersama Lebih Sihat” dipilih bagi menekankan kepentingan kesedaran, pemahaman dan sokongan berterusan.



Menurut penganjur, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta tentang kesihatan mental serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam memberikan bantuan awal dan sokongan sosial kepada individu yang memerlukan. Tiga penceramah terlibat, iaitu Risin Sikin, William Ginting dan Elycia Sikul.


Aktiviti dimulakan dengan sesi kesedaran merangkumi pengenalan kesihatan mental, tanda awal masalah, pengurusan stres, komunikasi empati dan peranan komuniti. Peserta kemudian diperkenalkan kepada borang saringan WHO-5, PHQ-9 dan GAD-7, mengisinya, manakala petugas terlatih menerangkan cara pengiraan markah dan interpretasi keputusan.


Sesi soal jawab dan perkongsian saluran bantuan turut diadakan bagi memberi peserta ruang mendapatkan penjelasan lanjut dan berkongsi pandangan. Program berakhir dengan mesej bahawa kesihatan mental perlu diutamakan; memohon pertolongan bukan tanda kelemahan, sebaliknya cerminan keberanian.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page