top of page

Madius Persoal Kesiagaan Tempur LCS, Kos Tambahan Dan Akauntabiliti Kelewatan Projek

nabalunews
1 hour ago
3 min read

KUALA LUMPUR, 28 Okt - Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mempersoalkan tahap kesiagaan tempur lima Kapal Tempur Pesisir (LCS), implikasi kewangan penggantian peluru berpandu serta mekanisme akauntabiliti sekiranya jadual penyerahan baharu projek itu sekali lagi gagal dipenuhi.


Beliau berkata, jawapan bertulis Menteri Pertahanan yang diterimanya hari ini berhubung soalan yang dikemukakan pada Isnin lepas menunjukkan projek LCS masih ketinggalan daripada jadual asal, dengan kemajuan keseluruhan pembinaan lima kapal itu setakat 25 Sept lepas mencapai 80.72 peratus berbanding sasaran 89.91 peratus, iaitu kelewatan 9.19 mata peratusan.


Menurutnya, walaupun Kementerian Pertahanan mengemukakan perkembangan pembinaan setiap kapal dan jadual penyerahan yang ditetapkan oleh syarikat pembina, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), beberapa persoalan penting masih belum dijelaskan secara menyeluruh.


“Maklumat tersebut belum menjawab sepenuhnya perkara yang saya bangkitkan, khususnya tarikh setiap kapal benar-benar sedia tempur, implikasi kewangan penggantian Naval Strike Missile (NSM), dan pihak yang akan bertanggungjawab sekiranya jadual baharu sekali lagi tidak dipenuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu Presiden Kehormat UPKO itu dalam Pertanyaan Lisan meminta Kementerian Pertahanan menyatakan berapakah kemajuan fizikal dan kewangan lima LCS, tarikh penyerahan setiap kapal dalam keadaan sedia tempur, status pengganti Naval Strike Missile, kos tambahan, serta pihak bertanggungjawab jika jadual baharu gagal.


Madius berkata, berdasarkan jawapan itu, kemajuan pembinaan LCS1 ialah 86.78 peratus, LCS2 (82.76 peratus), LCS3 (75.84 peratus), LCS4 (65.48 peratus) dan LCS5 (56.82 peratus).


LUNAS menetapkan jadual penyerahan masing-masing pada April 2027 bagi LCS1, Ogos 2027 bagi LCS2, Disember 2027 bagi LCS3, Ogos 2028 bagi LCS4 dan April 2029 bagi LCS5.


Beliau berkata, bagi kapal pertama, KD Maharaja Lela, kapal itu kini menjalani ujian laut di peringkat limbungan sebelum meneruskan Sea Acceptance Trial (SAT) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Bagaimanapun, katanya, perkembangan berkenaan masih belum memberikan kepastian mengenai tarikh kapal itu akan diterima, ditauliahkan dan mencapai tahap kesiagaan tempur yang diperlukan.


“Penyerahan fizikal kapal tidak seharusnya disamakan dengan kesiagaan tempur,” katanya sambil menegaskan bahawa keupayaan sebenar kapal untuk beroperasi perlu menjadi ukuran penting kejayaan projek berkenaan.


Mengenai persenjataan, Madius berkata, Kementerian Pertahanan masih meneliti tiga pilihan peluru berpandu permukaan ke permukaan bagi menggantikan NSM, dengan pertimbangan merangkumi keperluan operasi, kesesuaian integrasi dengan kapal, kos dan tempoh perolehan.


Beliau berkata, jawapan bertulis itu bagaimanapun tidak menyatakan pilihan yang dijangka dimuktamadkan, anggaran kos penggantian atau tempoh yang diperlukan bagi proses perolehan dan integrasi sistem berkenaan.


Menurutnya, perkara itu memerlukan penjelasan lanjut bagi memastikan sama ada penggantian tersebut akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan menjejaskan jadual pelaksanaan projek.


Dalam aspek kewangan, Madius berkata, Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa RM8.96 bilion, bersamaan 79.82 peratus daripada nilai kontrak berjumlah RM11.227 bilion, telah dituntut oleh LUNAS.


Beliau meminta kementerian memperjelas sama ada jumlah itu merujuk kepada tuntutan yang dikemukakan, tuntutan yang telah diperakui atau bayaran yang telah dibuat, selain menjelaskan sama ada terdapat kos tambahan di luar nilai kontrak berkenaan.


Madius turut membangkitkan isu akauntabiliti sekiranya jadual penyerahan baharu tidak dipenuhi, termasuk tindakan kontrak yang akan diambil, pihak yang perlu menanggung kos akibat kelewatan dan langkah pembetulan yang bakal dilaksanakan.


Beliau berkata, kenyataan bahawa projek itu dipantau secara berterusan perlu disusuli penjelasan lebih khusus mengenai tanggungjawab pihak berkaitan dan tindakan yang akan diambil sekiranya berlaku kelewatan seterusnya.


Madius juga menjelaskan bahawa soalan berkenaan dikemukakan sebagai soalan lisan, namun disenaraikan sebagai Soalan No. 22 dan dijawab secara bertulis, menyebabkan beliau tidak berpeluang mengemukakan soalan tambahan bagi mendapatkan penjelasan segera.


Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pertahanan memberikan penjelasan terperinci mengenai tarikh penyerahan fizikal, penerimaan TLDM, pentauliahan dan kesiagaan tempur setiap kapal; status serta kos penggantian NSM; kedudukan sebenar tuntutan RM8.96 bilion; kemungkinan kos tambahan; dan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab jika jadual baharu gagal dipenuhi.


Beliau berkata, ketelusan dalam pelaksanaan projek berkenaan penting memandangkan ia melibatkan peruntukan wang awam yang besar serta keupayaan operasi TLDM dalam memastikan keselamatan dan pertahanan negara.


“Rakyat dan anggota TLDM berhak mendapat kepastian bahawa peruntukan besar ini menghasilkan kapal yang bukan sahaja siap dibina, tetapi benar-benar boleh beroperasi dan memenuhi keperluan pertahanan negara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page