Ewon temui Johari bincang cadangan bangunkan POIC Lahad Datu sebagai Zon Ekonomi Khas BIMP-EAGA
nabalunews
1 hour ago
1 min read

27 Oktober 2026
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi membincangkan cadangan membangunkan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu sebagai Zon Ekonomi Khas (Special Economic Zone) BIMP-EAGA.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, cadangan itu telah dikemukakannya ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat baru-baru ini sebagai antara usaha memperkukuh pembangunan perindustrian dan menarik pelaburan antarabangsa ke Sabah.
“Saya menghargai sokongan beliau terhadap cadangan ini serta kesediaannya untuk mengadakan kunjungan ke Sabah bagi membincangkan lebih lanjut pembangunan POIC Lahad Datu sebagai Zon Ekonomi Khas BIMP-EAGA.

“Perbincangan lanjut itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan industri dan pelaburan antarabangsa di POIC Lahad Datu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Johari di pejabat menteri berkenaan di Parlimen, hari ini.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Ahli Parlimen Tuaran merangkap Pengerusi POIC Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Dalam pertemuan sama, Ewon turut membincangkan permohonan pembangunan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) oleh Esteel Sabah di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Menurutnya, cadangan pembangunan itu memerlukan kelulusan jawatankuasa khas di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Esteel Sabah diwakili oleh Pengarah Negaranya, Nick Xu.

Ewon berharap perbincangan dan kerjasama dengan MITI itu dapat mempercepat usaha pembangunan industri serta meningkatkan nilai tambah sektor perindustrian Sabah, khususnya dalam menarik pelaburan baharu dan memperkukuh daya saing negeri di peringkat antarabangsa.















Comments