Dua Kenderaan Bertembung Di Penampang, Pemandu 4WD Maut

Oleh : Romie Stanley DGuns
25 Oktober 2026
PENAMPANG – Satu kemalangan jalan raya maut membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah motokar dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) berlaku di Jalan Datuk Panglima Banting, di sini, pada jam lebih kurang 8.30 malam, 24 Oktober 2026.
Dalam kejadian tersebut, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia, manakala pemandu motokar berusia 42 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Polis (ASP) Arisanti Aziz dalam kenyataan medianya hari ini memaklumkan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Bukit Padang itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motokar tersebut.
"Susulan daripada pertembungan itu, pemandu pacuan empat roda telah disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu," jelasnya.
Tambah beliau, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan secara melulu atau membahayakan.
Sehubungan dengan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Mereka diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 bagi melancarkan lagi proses siasatan.















Comments