Ewon tanya Zahid, siapa beri arahan pembatalan projek Jalan Luar Bandar Sabah?

26 Oktober 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick meminta penjelasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan 13 projek Jalan Luar Bandar (JLB) di Sabah tahun ini.
Ewon berkata, penjelasan itu penting supaya rakyat Sabah mengetahui pihak yang bertanggungjawab mengarahkan pembatalan projek berkenaan, selain mendapatkan kepastian mengenai status pelaksanaannya.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika mencelah pada sesi penggulungan oleh Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, hari ini.
“Datuk Seri menyatakan bahawa terdapat arahan untuk membatalkan sejumlah projek di Sabah. Saya ingin mendapatkan kepastian sama ada arahan itu merujuk kepada 13 projek Jalan Luar Bandar di Sabah di bawah kendalian KKDW.
“Apakah status projek berkenaan? Adakah dibatalkan terus atau akan dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan?
“Penting juga untuk dijelaskan siapa yang mengeluarkan arahan pembatalan itu supaya rakyat Sabah mendapat pencerahan dan boleh membuat keputusan pada tahun hadapan,” katanya.
Menjawab pertanyaan itu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa arahan pembatalan berkenaan turut melibatkan projek jalan di kawasan Parlimen Penampang.
“Jalan itu termasuk jalan di kawasan Yang Berhormat. Saya sahkan memang termasuk jalan itu dan insya-Allah tahun hadapan kita sambung semula,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memperincikan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan berkenaan.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, kepastian mengenai status projek berkenaan amat penting memandangkan pembangunan infrastruktur jalan luar bandar merupakan antara keperluan utama rakyat Sabah.
Beliau turut berharap projek yang terjejas akibat pembatalan tahun ini dapat diteruskan dalam pelaksanaan pembangunan tahun hadapan seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Terdahulu itu ketika menyampaikan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar, Ahmad Zahid mendakwa terdapat projek pembangunan luar bandar bagi tahun 2026 di Sabah dan Sarawak yang dibatalkan meskipun peruntukan telah disediakan.
Katanya, arahan pembatalan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, namun beliau tidak memperincikan kementerian yang terlibat atau jumlah projek yang terjejas.















Comments