top of page

MITI sokong cadangan Ewon bangunkan BIMP-EAGA Special Economic Zone di POIC Lahad Datu

nabalunews
3 minutes ago
2 min read

28 Oktober 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyokong cadangan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick untuk membangunkan BIMP-EAGA Special Economic Zone di Taman Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.


Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan menjadikan Sabah sebagai “Eastern Gateway to Malaysia” itu berpotensi memperkukuh pembangunan perindustrian dan pelaburan menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah.


“Saya menyokong cadangan Yang Berhormat ini kerana perkara tersebut sudah lama sepatutnya dilaksanakan. Sepatutnya, POIC dibangunkan lebih awal daripada Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura,” katanya ketika menggulung perbahasan berkaitan cadangan Ewon tersebut di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Johari berkata, POIC yang mempunyai keluasan lebih 4,400 ekar memiliki kelebihan untuk dibangunkan sebagai lokasi perindustrian strategik di bawah inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA).


“Pertama, tanahnya sudah tersedia. Kedua, kawasan ini mempunyai kemudahan pelabuhan dengan kedalaman yang mencukupi. Selain itu, terdapat potensi untuk pembangunan logistik serta kemudahan penyimpanan,” katanya.


Beliau berkata, pembangunan itu juga boleh memanfaatkan rantaian industri kelapa sawit yang merangkumi aktiviti pemprosesan, penapisan, oleokimia dan penghancuran isirung sawit.


Katanya, Sabah dan Sarawak secara bersama menghasilkan hampir sembilan juta tan metrik minyak sawit mentah (CPO), bersamaan kira-kira 45 peratus daripada pengeluaran negara yang berjumlah sekitar 20 juta tan metrik.


Bagi memperincikan cadangan berkenaan, beliau menyarankan supaya khidmat perunding diperoleh melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah untuk menyediakan kertas cadangan dan mengenal pasti sektor yang sesuai dibangunkan.


“Selepas itu, kita boleh mengadakan pembentangan. Saya juga akan menyokong cadangan ini untuk dibawa kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi. Di pihak MITI, kita akan meneliti aspek industri yang hendak dibangunkan,” katanya.


Beliau turut menekankan bahawa sektor industri yang hendak diberi tumpuan perlu dikenal pasti secara khusus, terperinci dan berfokus bagi memastikan Sabah memperoleh manfaat daripada pembangunan zon ekonomi khas itu.


Sementara itu, Ewon merakamkan penghargaan atas kesediaan MITI menyokong cadangan tersebut dan menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Sabah akan mengambil tindakan susulan terhadap saranan yang dikemukakan.


Beliau turut menjemput Menteri MITI melawat POIC Lahad Datu sebagai langkah awal merealisasikan kerjasama itu.


“Saya juga mewakili Kerajaan Sabah menjemput Yang Berhormat Menteri untuk turun ke Sabah dan bersama-sama melawat POIC sebagai langkah awal sokongan terhadap cadangan yang telah kita rekodkan di dalam Dewan ini.


Pada 13 Oktober lalu, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Ewon mencadangkan supaya POIC Lahad Datu dijadikan kawasan ekonomi khas BIMP-EAGA bagi membangunkan Sabah sebagai pintu masuk timur Malaysia.


Beliau berkata Kerajaan Persekutuan perlu bersama-sama menjayakan usaha itu bagi memperkukuh pembangunan perindustrian di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page