Hopes Malaysia akan bantu baikpulih jambatan gantung Melangkap Baru
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hopes Malaysia akan bantu baikpulih jambatan gantung Melangkap Baru



29 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Hopes Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan memberikan sumbangan membaikpukih jambatan gantung Kg.Melangkap Baru yang rosak sejak tahun lalu.


Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Melangkap Anichlose Kesimin berkata, atas aduan penduduk kampung, beliau menjemput badan NGO itu meninjau keadaan jambatan gantung yang juga merupakan laluan murid SK Melangkap


“Jambatan ini adalah laluan utama murid-murid dari Kg. Melangkap Baru dan Kg. Melangkap Tomis serta beberapa pelajar dari Kg. Melangkap Tiong untuk ke SMK Narinang.



“Selain itu jambatan ini juga menjadi laluan beberapa guru yang bertugas di SK. Melangkap serta pelancong yang berkunjung ke Kg. Melangkap iaitu antara destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan utama khasnya di DUN Kadamaian dan amnya Kota Belud,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Anichlose merakamkan ucapan terima kasih kepada Hopes Malaysia atas kemurahan hati membantu mencari dana untuk membaiki jambatan gantung itu.


“Terima kasih kepada rakan-rakan dari Hopes Malaysia kerana sudah dua kali berkunjung ke tempat ini bagi mempermudahkan urusan bagi dana penyelenggaran jambatan,” katanya.



Pada masa yang sama Anichlose turut membawa wakil daripada Hopes Malaysia meninjau keadaan tadahan air graviti Kg. Melangkap Tiong iaitu sumber air komuniti Kg. Melangkap Tiong, SK.Melangkap, Asrama Desa SK.Melangkap serta beberapa Homestay di kampung itu.


Sementara itu Pengasas dan Pengarah Eksekutif Hopes Malaysia Sam Lee berkata, projek pembaikan jambatan gantung itu dijangka dimulakan pada Mei ini.


Selain membantu membaiki jambatan gantung Kg.Melangkap, Hopes Malaysia juga aktif membantu penduduk kampung di luar bandar yang merlukan bantuan.



bottom of page