HPPK 2025 perkukuh usaha penjaja dan peniaga kecil ke arah pendigitalan perniagaan
- nabalunews
- Nov 2, 2025
- 2 min read

2 Nov 2025
TEMERLOH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro melalui penganjuran Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 Peringkat Kebangsaan di Lurah Semantan, Temerloh, dari 31 Oktober hingga 2 November (hari ini).
Penganjuran HPPK 2025 melibatkan penyertaan lebih 800 usahawan mikro, termasuk usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI), penjaja dan peniaga kecil dari pelbagai negeri serta peniaga tempatan Pekan Sehari Temerloh.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, nilai jualan sepanjang karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (melepasi sasaran RM1 juta, manakala potensi pembiayaan mencecah RM4 juta, menjadikan keseluruhan impak ekonomi dianggarkan sebanyak RM5 juta.
Katanya, HPPK 2025 turut menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 45,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, sekali gus membuktikan sokongan padu rakyat terhadap sektor penjaja dan peniaga kecil sebagai pemacu ekonomi rakyat.

“KUSKOP bukan sahaja meraikan sumbangan penjaja dan peniaga kecil, tetapi turut memperkukuh daya saing mereka melalui program latihan, bimbingan dan inisiatif pendigitalan keusahawanan. Fokus kami ialah memastikan lebih ramai peniaga mikro beralih kepada penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai, platform e-dagang serta strategi pemasaran digital,” katanya.
Pendigitalan ini dilaksanakan secara bersepadu melalui pelbagai inisiatif di bawah agensi-agensi KUSKOP seperti Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Antaranya, inisiatif khas “Khemah Jajahan Rakyat” oleh Bank Rakyat yang menyediakan pembiayaan mikro, khidmat nasihat kewangan dan bimbingan digital kepada usahawan, sejajar dengan komitmen memperluas peluang ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
Penganjuran HPPK 2025 turut membawa limpahan ekonomi kepada komuniti setempat apabila hampir 800 bilik hotel dan inap desa ditempah sepenuhnya sepanjang karnival berlangsung, selain peningkatan nilai jualan berganda kepada peniaga tempatan.
Majlis Perasmian Penutupan HPPK 2025 Peringkat Kebangsaan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, mewakili Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Bertemakan “Memacu Ekonomi MADANI, Memperkasa Usahawan Mikro”, HPPK 2025 mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh daya tahan dan kemampanan ekonomi rakyat, khususnya melalui pemerkasaan digital, pembiayaan inklusif dan latihan keusahawanan berterusan.


















Comments