Import, penanaman guarana tidak dibenarkan - MAFFI
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

6 Februari 2026
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menegaskan bahawa pengimportan, pembiakan, penanaman serta sebarang aktiviti penyelidikan melibatkan tanaman guarana (Paullinia cupana) di negeri ini adalah tidak dibenarkan.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, larangan itu bertujuan mengelakkan implikasi perundangan antarabangsa, khususnya Kerajaan Brazil, selaras kenyataan Jabatan Pertanian Malaysia yang menetapkan larangan pengimportan dan penanaman guarana di seluruh negara.
Menurutnya, pemakluman rasmi Ministry of Agriculture, Livestock and Food Supply (MAPA), Brazil menerusi surat OFÍCIO Nº 5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020, menggariskan kebenaran pengeksportan buah guarana hanya untuk tujuan pemprosesan dan makanan manusia.
“Mana-mana pihak yang menanam guarana tanpa kebenaran pihak berkuasa Brazil berisiko dikenakan tindakan perundangan termasuk amaran, penyitaan serta penalti sehingga R$10 juta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Guarana merupakan tanaman herba semula jadi di Lembah Amazon, khususnya di Brazil, yang juga mempunyai penanaman getah dan pernah mencatat insiden penyakit South American Leaf Blight (SALB) disebabkan kulat Microcyclus ulei.
Menurutnya, penyakit SALB disenaraikan sebagai perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan boleh menyebabkan pengurangan hasil lateks, pertumbuhan pokok getah terbantut serta kematian pokok getah.
“Keadaan ini berpotensi menjejaskan industri getah negara khususnya di Sabah yang mempunyai keluasan tanaman getah seluas 241,565 hektar dengan pengeluaran sebanyak 75,760 tan pada tahun 2024 serta menjana pendapatan kepada pekebun kecil bernilai RM287.8 juta.
“Guarana juga berisiko membawa penyakit baharu seperti Colletotrichum guaranicola yang boleh menyerang tanaman guarana serta tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran lain termasuk betik, pisang, mangga dan cili, sekali gus mengancam keselamatan agromakanan negeri,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pertanian Sabah tidak membenarkan pengimportan tumbuhan, produk pertanian atau artikel terkawal dari Brazil, selaras dengan Peraturan No. 5, Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Menurut beliau, sebarang kemasukan bahan tanaman tanpa kebenaran bertulis Pengarah Pertanian Sabah melalui Permit Import atau Sijil Pemeriksaan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.
Tambahnya, Pengisytiharan Tumbuhan Berbahaya 2025 yang diwartakan pada 1 Disember 2025 turut mentakrifkan tumbuhan berbahaya sebagai bahan tanaman tidak sah, termasuk tumbuhan yang dibawa masuk tanpa melalui tatacara pengimportan, pemeriksaan pintu masuk atau kuarantin.
“Setakat ini MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan sebarang pengimportan bahan tanaman guarana.
“Sebarang bahan tanaman guarana yang dibawa masuk secara tidak sah adalah melanggar undang-undang di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981,” katanya.
Beliau menegaskan semua pihak supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan guarana serta sentiasa mematuhi peraturan kuarantin tumbuhan bagi melindungi industri pertanian, biodiversiti dan keterjaminan makanan Sabah.














