Individu Sabah lancar petisyen mohon TAED kekalkan padang awam Tanjung Aru
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Individu Sabah lancar petisyen mohon TAED kekalkan padang awam Tanjung Aru


10 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebuah petisyen dalam talian menggesa pihak berkaitan Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) agar mengekalkan padang awam Tanjung Aru yang dipercayai adalah satu-satunya padang awam yang ada di Bandaraya Kota Kinabalu.


Rafiq Saifuddin Safri yang memulakan petisyen di change.org ini pada Disember lalu berkata, padang ini bukan sahaja digunakan untuk bersukan, malah ianya di gunakan untuk beriadah untuk keluarga di sekitar kawasan tersebut.


“Kita semua faham pembangunan itu penting untuk sebuah negara. Akan tetapi, ianya memberikan kesinambungan dalam pembangunan di mana masih ada kawasan hijau walaupun di dalam sebuah bandar yang pesat membangun,” jelasnya.


Setakat hari ini, petisyen itu meraih lebih 1,500 tandatangan yang rata-ratanya menyifatkan padang awam ini sebagai satu lokasi bersejarah yang wajar dikekalkan.


Salah seorang individu yang menandatangani petisyen tersebut, Jude Rampangajouw berkata, padang ini merupakan satu-satunya padang kegunaan sukan ragbi yang tinggal di Kota Kinabalu dan Sabah secara amnya.


“Ia mempunyai sejarah penuh dan telah mengembangkan pelbagai bakat yang membantu kerjaya mereka. Ia juga merupakan padang untuk sukan lain seperti bola speak dan frisbee serta aktiviti riadah dan sosial. Menghapuskan padang ini juga bermaksud menghapuskan sejarah dan warisan kita.


“Padang ini juga memainkan peranan dalam kepentingan dan kebaikan dari segi kesihatan masyarakat di mana kita sedia maklum bahawa belia zaman ini dihantui dengan pelbagai penyakit seperti obesiti akibat kurang bersenam,” katanya.


Seorang lagi individu, Jude Robert Ripin berkata: “Kita patut berhenti merobohkan tempat-tempat ikonik seperti ini. Jika tidak, akhirnya tiada lagi yang boleh kita selamatkan dari masa lalu. Tolong jauhi padang kami.”

bottom of page