top of page

Op Taring Chiller Rampas Produk Sejuk Beku Cecah RM35.4 Juta

  • nabalunews
  • 24 hours ago
  • 2 min read

16 Julai 2025


KOTA KINABALU: Operasi Op Taring Chiller yang dilaksanakan Pasukan Gerakan Am (PGA) selama 12 jam semalam, berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku mencecah nilai RM35.4 juta.


Operasi yang berakhir jam 8 malam itu turut berjaya menahan 29 individu termasuk lima warga asing berusia 20 hingga 60 tahun.


Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi yang dijalankan secara serentak di 10 itu bertujuan membanteras aktiviti penyimpanan dan penjualan makanan sejuk beku yang menyalahi undang-undang.


Katanya, hasil serbuan, 15 daripada 19 premis yang disasarkan didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen perniagaan, melanggar Seksyen 15(1), Enakmen Haiwan 2015 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (Akta Makanan 1983).


“Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan termasuk melanggar Seksyen 102 dan 103 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.


“Manakala nilai rampasan melibatkan produk sejuk beku dan peralatan pula mencecah RM35.4 juta,” katanya pada sidang media di Brigade PGA Sabah, hari ini.


Abdul Rani berkata, antara produk makanan yang dirampas ialah produk ayam dan daging, produk laut termasuk ikan kembong, ikan patin, tilapia merah, pomfret perak, ikan dory, ikan siakap, udang, sotong, dan ketam.


Katanya, turut dirampas peralatan dan kenderaan: cold room, chiller, mesin pemotong, pengisar daging, forklift, lori bonded dan kontena sejuk beku.


“Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Pertanian Sabah,” katanya.


Sehubungan itu, Abdul Rani berkata, operasi yang dilaksanakan membuktikan komitmen berterusan Briged Sabah PGA bersama agensi penguatkuasaan lain.


Katanya, ia bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan-peraturan pengurusan makanan sejuk beku, sekaligus melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna.


“Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


“Briged Sabah PGA akan terus meningkatkan pemantauan dan mendapatkan maklumat berkaitan salah laku pengurusan makanan sejuk beku bagi memastikan produk makanan yang dijual kepada rakyat Malaysia adalah selamat dan berkualiti,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page