top of page

IPD Kota Marudu Imarah Ramadan dengan Qiamullail, Tadarus dan Program Panglima Subuh

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


7 Mac 2026


KOTA MARUDU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menganjurkan program keagamaan bersepadu awal pagi semalam bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan aktiviti kerohanian, sekali gus memperkukuh nilai integriti dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warganya. Program yang berlangsung di Surau Al Muttaqin itu merangkumi Qiamullail, Tadarus Al-Quran, penyerahan sahur, dan Program Panglima Subuh.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, hadir menyertai program tersebut bersama-sama pegawai kanan, anggota, kakitangan awam, serta ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kota Marudu. Kehadiran beliau menyerikan acara yang dimulakan dengan solat malam dan diakhiri dengan solat Subuh berjemaah.


Program dimulakan dengan solat Qiamullail yang diimamkan oleh Ustaz Ahmad Hanan Ahmad Hulmi, BIPS (BAKA) IPD KM. Sesi tersebut diisi dengan solat sunat Taubat, Tahajud, Hajat serta bacaan zikir dan doa bagi menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah.

Seterusnya, sesi Tadarus Al-Quran secara berkumpulan diadakan untuk memberi peluang kepada warga pasukan membaca serta menghayati ayat-ayat suci, sekaligus menggalakkan budaya membaca Al-Quran.


Selepas sesi tadarus, Ketua Polis Daerah turun padang menyerahkan juadah sahur kepada anggota yang sedang bertugas di sekitar kawasan pentadbiran IPD. Penyerahan tersebut merupakan tanda penghargaan atas pengorbanan anggota yang terus menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam walaupun dalam bulan Ramadan.


Program diteruskan dengan sesi sahur bersama yang disertai oleh Ketua Polis Daerah, ketua-ketua bahagian, pegawai kanan, anggota dan PERKEP bagi memupuk semangat kebersamaan.


Program diakhiri dengan Program Panglima Subuh iaitu solat Subuh secara berjemaah yang diimamkan oleh Inspwktor Ricko @ Severinus Sidin dari Cawangan Khas. Inisiatif ini bertujuan mengimarahkan surau serta memupuk disiplin anggota dalam menunaikan solat secara berjemaah sebagai amalan harian.


Secara keseluruhannya, program yang mendapat sambutan baik ini diharap dapat diteruskan setiap tahun sebagai platform memperkasa kerohanian warga IPD Kota Marudu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page