Isu 40% hasil persekutuan untuk Sabah, Ewon sedia bawa ke mahkamah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Isu 40% hasil persekutuan untuk Sabah, Ewon sedia bawa ke mahkamah


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

28 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, beliau bersedia membawa ke mahkamah isu berkaitan Pemberian Khas dan 40% Pemberian Hasil Persekutuan di Sabah agar rakyat negeri ini mendapat penjelasan melalui proses undang-undang.


Menurutnya, penjelasan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Persekutuan Tengku Zafrul Aziz bahawa pemberian semula hasil persekutuan di Sabah berdasarkan formula 40% di bawah Perkara 112 C&D tidak lagi terpakai kerana ada keputusan baharu dicapai antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri telah mencetuskan polemik baharu politik di Sabah.


“Saya telah meminta penjelasan ini dalam sidang DUN Sabah baru-baru ini. Menteri Kewangan II Datuk Masidi Manjun mengatakan Kerajaan Negeri tidak pernah “surrender” 40% tetapi ianya “non-negotiable”, ada perkara yang dipersetujui dan ada perkara yang masih dirunding.



“Walaupun Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor mengatakan akan terus memperjuangkan perolehan hasil berdasarkan formula 40%, tetapi kita ingin melihat satu pemuktamadan kepada isu ini agar rakyat Sabah mendapat penjelasan sebenar terutama selepas kita mengetahui adanya warta kerajaan pada tahun 1970 yang menyatakan mengenai Pemberian Khas kepada Sabah.


“Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang. Sebagai salah seorang ADUN yang telah mengangkat sumpah memelihara dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah, saya sedia membawa isu berkaitan formula 40% di bawah Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan dan kesahihan pelaksanaan Pemberian Khas mengikut warta kerajaan 1970 ke mahkamah,” katanya.


Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyatakan demikian dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua Cawangan, Wanita dan Pemuda parti itu dari Mukim Tamu Darat dan Mukim Piasau, di sini, hari ini.



Beliau berpendapat formula 40 peratus dan pemberian khas adalah dua perkara berbeza.


“Bagaimanapun, PH Sabah akan mengadakan perbincangan dengan para peguam berkenaan isu ini,” katanya.


Perjumpaan itu yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, dihadiri 16 cawangan dari kedua-dua Mukim berkenaan.



bottom of page