top of page

Isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak masih membimbangkan

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read


Rosmahwati (tengah) bercakap kepada murid SK Kg Selamat sempena program tersebut.
Rosmahwati (tengah) bercakap kepada murid SK Kg Selamat sempena program tersebut.

23 Mei 2025

KUNAK: Isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak masih lagi membimbangkan di Sabah apabila sebanyak 1,181 kes direkodkan di negeri ini tahun lalu.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri berkata, angka itu bukan sekadar statistik tetapi mencerminkan 1,181 kisah luka, trauma, dan ketidakadilan dialami oleh anak-anak kecil yang sepatutnya dilindungi dan disayangi.


Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) amat prihatin terhadap isu keselamatan kanak-kanak, khususnya penderaan dan pengabaian.


“Kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak semakin meningkat dan isu ini mendapat liputan meluas di pelbagai platform media sosial.


“Statistik yang dikeluarkan JKM menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak setiap tahun. Beberapa tahun kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan kes tragis seperti penderaan fizikal terhadap seorang remaja OKU yang didera secara kejam oleh individu yang sepatutnya menjadi pelindungnya.


“Selain penderaan fizikal, kita juga melihat peningkatan kes penderaan emosi dan pengabaian. Ada anak-anak kecil yang dikurung dalam rumah tanpa makanan dan perhatian, dipukul dengan objek keras bahkan ada yang dicerca hingga menjejaskan emosi dan keyakinan diri mereka,”katanya lagi.


Nancy berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Selamat sempena Kembara Kasih KPWKM 2025,di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua (Operasi) JKM Malaysia, Rosmahwati Ishak.


Menurutnya, pihaknya mensasarkan pelaksanaan program itu di 300 sekolah lagi sebagai kesinambungan usaha memperkasa kanak-kanak melalui advokasi perlindungan kanak-kanak, susulan kejayaan program itu di semua negeri di Malaysia pada tahun lepas, termasuk 10 sekolah di Sabah.


Katanya, program advokasi tersebut menjadi platform bagi kanak-kanak dan komuniti untuk memanfaatkan talian kasih 15999 atau melalui aplikasi Whatsapp 019-2615999 bagi kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang memerlukan bantuan segera.


“Usaha itu juga secara langsung menyokong inisiatif kerajaan dalam mencegah penderaan fizikal, emosi, seksual, pengabaian, eksploitasi atau sebarang bentuk penganiayaan yang boleh mengancam keselamatan dan kebajikan kanak-kanak, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page