top of page

SPM 2025 catat GPK 4.42, terbaik dalam tempoh lima tahun

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

31 Mac 2026


PUTRAJAYA: Gred Purata Kebangsaan (GPK) bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila merekodkan skor peningkatkan kepada 4.42 mata.


Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, GPK berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 4.49 mata tahun sebelumnya, dengan skor lebih rendah menandakan pencapaian keseluruhan yang lebih baik.


“Jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar turut menunjukkan pengecilan dengan GPK calon bandar merekodkan 4.40 mata, manakala luar bandar 4.81 mata,” katanya pada sidang akhbar pengumuman SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) pagi ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, dibandingkan dengan 13,827 calon pada 2024.


Dalam pada itu, katanya bilangan calon yang memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 376 orang, berbanding 352 orang pada 2024.


“Seramai 92,347 calon atau 23.76 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran.


“Sementara itu, 141,728 calon atau 36.47 peratus pula lulus dengan sekurang-kurangnya gred E bagi semua mata pelajaran, meningkat berbanding 136,791 calon (36.13 peratus) pada 2024,” ujarnya.


Berhubung prestasi mata pelajaran, Azam berkata sebanyak 63 daripada 95 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 29 merekodkan penurunan manakala tiga lagi kekal apabila dibandingkan dengan SPM 2024 berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).


Katanya, peratusan calon yang gagal semua mata pelajaran mencatatkan penurunan kepada 0.42 peratus daripada 388,641 calon menduduki peperiksaan SPM 2025.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page