top of page

Jalan Baru Tambulion Ulu Kadamaian Tambah Keselesaan Kepada Penduduk

nabalunews



4 Disember 2024


KOTA BELUD: Projek pembinaan jalan sepanjang 345 meter di Kampung Tambulion Ulu, Kadamaian telah siap sepenuhnya, sekaligus memudahkan akses penduduk dan memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat yang menggunakan laluan itu setiap hari.


Projek ini, yang dimulakan pada 3 November lalu dan siap pada 24 November adalah hasil komitmen dan usaha berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick untuk meningkatkan infrastruktur luar bandar di Kadamaian.


Dengan siapnya jalan baharu ini, penduduk Kampung Tambulion Ulu kini dapat menggunakan laluan yang lebih selamat dan selesa.


Proses pengangkutan hasil pertanian serta akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan turut menjadi lebih mudah dan lancar.


Menurut Pemaju Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, projek pembinaan jalan baharu itu berjalan lancar termasuklah pelaksanaan kerja-kerja seperti penimbusan tanah, penaburan batu dan pemasangan sistem pembetungan.


"Fasiliti ini kini memudahkan akses penduduk dan memperbaiki kualiti kehidupan mereka," katanya.


Tinjauan di tapak projek turut melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu, Hildawatih Sikul.


Hildawatih menzahirkan rasa syukur atas kemudahan yang disiapkan dalam masa singkat itu, serta memuji inisiatif Ewon.


"Ewon sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat luar bandar. Kejayaan projek ini adalah bukti dedikasi beliau dalam memperbaiki infrastruktur kampung," katanya.


Penduduk Kampung Tambulion Ulu turut merakamkan penghargaan mereka atas komitmen dan perhatian Ewon dalam memastikan keperluan asas mereka dipenuhi.


Clarence menegaskan bahawa Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, tidak pernah berkompromi dalam memajukan kawasan Kadamaian. Projek-projek seperti ini, katanya, menjadi bukti kepada iltizam kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan pembangunan komuniti.


Katanya projek ini bukan sahaja menambahbaik prasarana tetapi juga menunjukkan bagaimana usaha kolektif antara pemimpin dan masyarakat mampu mencapai hasil yang diinginkan.


"Kita akan terus berusaha melaksanakan projek-projek pembangunan asas di kawasan luar bandar untuk kesejahteraan rakyat,” tambah Clarence.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page