top of page

Jangan bina rumah di tanah rizab kerajaan, 16 lagi rumah setinggan dirobohkan di Keningau

  • nabalunews
  • Aug 10, 2024
  • 1 min read

10 Ogos 2024

Oleh: Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Penduduk di daerah ini dinasihatkan supaya tidak mendirikan rumah di kawasan tanah rizab kerajaan kerana tindakan itu boleh menjejaskan pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pada masa akan datang.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superitendan Yampil Anak Garai berkata selain itu, rumah yang didirikan di kawasan tanah rizab kerajaan akan dirobohkan mengikut Seksyen 173 Ordinan Tanah Sabah.


Yampil berkata demikian ketika dihubungi media selepas operasi perobohan rumah setinggan yang didirikan di tanah kerajaan di daerah ini, semalam.


Sebanyak 16 buah rumah setinggan melibatkan 145 orang penghuni telah dirobohkan dalam operasi itu.


Operasi itu dijalankan secara bersepadu selama dua hari melibatkan seramai 72 orang pegawai dan kakitangan dari 7 jabatan dan agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Keningau, Jabatan Imigresen, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah, Pejabat Pemungut Hasil Tanah dan Jabatan Veterinar.


Sementara itu Pegawai Daerah Keningau, Peter Jonu Moinjil turut menasihatkan penduduk di daerah ini supaya tidak membina rumah di atas tanah kerajaan.


Ini katanya, bagi mengelak daripada menghadapi masalah di kemudian hari seperti yang berlaku sekarang.


"Mereka yang berbuat demikian terpaksa menanggung risiko kerana pengusiran dan perobohan rumah setinggan di tanah kerajaan tetap dilaksanakan jika tanah berkenaan digunakan oleh jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan" jelasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page