top of page

Jangan Guna Alasan Teknikal Elak Hak 40% Sabah”: Azizah

  • nabalunews
  • Apr 7
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


7 April 2026


KOTA KINABALU: Hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan tidak seharusnya terus dilengahkan dengan alasan teknikal, termasuk keputusan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) oleh mahkamah, tegas Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.


Beliau menegaskan bahawa rundingan berkaitan hak tersebut perlu diteruskan walaupun prosiding perundangan masih berjalan. Keputusan penangguhan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghentikan usaha mencapai penyelesaian.


"Jangan jadikan keputusan mahkamah sebagai alasan untuk tidak bertindak. Penangguhan tidak bermakna rundingan juga perlu dihentikan. Jika ada kesungguhan politik, rundingan mesti diteruskan secara berterusan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Azizah turut mengingatkan bahawa rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama untuk menikmati hak yang sepatutnya, dan kegagalan menunaikan hak tersebut boleh dianggap sebagai pengabaian terhadap kepentingan negeri ini.


Mengulas isu subsidi diesel yang didebatkan segelintir pihak, Azizah menolak dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata. Beliau menegaskan bahawa hasil minyak berasal dari bumi Sabah dan Sarawak, maka tidak wajar hak negeri ini untuk menerima manfaat dipersoalkan.


Beliau juga berkata sebarang penilaian terhadap keistimewaan Sabah perlu mengambil kira realiti kos sara hidup serta faktor geografi negeri.


Dalam pada itu, Azizah berpandangan Sabah wajar diberikan tambahan kerusi Parlimen bagi mencerminkan keluasan negeri serta peningkatan keperluan rakyat.


"Jika mahu berlaku adil, Sabah bukan sahaja perlu mengekalkan 25 kerusi sedia ada, malah wajar ditambah, selaras dengan prinsip perwakilan yang lebih seimbang," katanya.


Beliau turut menekankan bahawa penambahan kerusi Parlimen itu perlu membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan kepimpinan wanita.


Azizah menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah akan terus diteruskan sehingga mencapai keadilan yang sewajarnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page