top of page

Jannie Hargai Sokongan Rakyat Kapayan, Tekad Teruskan Perjuangan

  • nabalunews
  • Oct 6
  • 1 min read

ree

6 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang menzahirkan penghargaan kepada pengundi Kapayan di atas sokongan padu yang diberikan sepanjang tempoh lima tahun perkhidmatannya di kawasan itu.


Susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 hari ini, Janie berkata, setiap penggal mempunyai permulaan dan pengakhiran, namun perjuangan politik yang didukung bersama rakyat Kapayan akan tetap diteruskan.


“Bagi saya, Kapayan bukan sekadar kawasan pilihan raya, inilah rumah, inilah keluarga dan tempat di mana harapan serta impian kita bertemu. Segala yang kita capai adalah hasil usaha bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.


Menurutnya, kekuatan sebenar dalam perjuangan politik tidak datang daripada individu semata-mata sebaliknya lahir daripada sokongan komuniti yang tidak pernah putus.


“Kita pernah menghadapi cabaran, kita pernah melalui dugaan, namun setiap kali kita bangkit semula dengan lebih tabah. Ini kerana anda semua tidak pernah meninggalkan saya dan perjuangan ini,” ujarnya.


Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada penduduk Kapayan atas keyakinan, doa dan semangat yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.


“Perjuangan tidak berhenti di sini, harapan tidak akan padam. Mari kita terus melangkah ke hadapan bersama demi Kapayan dan Sabah yang kita cintai,” katanya.


Petang tadi, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan DUN Sabah ke-16 dibubarkan secara rasmi hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.


Pengumuman itu dibuat pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Sabah Bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan Negeri di Menara Kinabalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page