top of page

JAPEN, MAFFI adakan program bimbingan galak rakyat ceburi sektor agromakanan

  • nabalunews
  • Apr 15
  • 1 min read

15 April 2026


KOTA KINABALU: Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan melaksanakan program bimbingan pertanian dan perikanan bagi menggalakkan rakyat di negeri ini menceburi sektor agromakanan.


Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, berkata inisiatif itu membuka peluang kepada masyarakat, khususnya golongan belia, menjadikan bidang berkenaan sebagai sumber pendapatan mampan.


“Program ini memberi ruang kepada komuniti untuk meningkatkan kemahiran serta keupayaan menjana pendapatan sendiri, sekali gus memperkukuh ekonomi setempat.


“Pendekatan ini memberi pendedahan serta menyediakan sokongan teknikal berterusan bagi memastikan hasil pertanian dan perikanan komuniti mencapai standard kualiti tinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar di Wisma Pertanian, di sini, pada Selasa.


Mengulas lanjut, Jainisah berkata, antara fokus utama termasuk latihan teknik penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran secara lebih efektif di kawasan strategik yang dikenal pasti.


Katanya, pembangunan sektor akuakultur turut diberi penekanan bagi membolehkan komuniti menguasai kaedah penternakan ikan secara sistematik mengikut kesesuaian geografi setempat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page