Jelajah Iftar 2025 KTC dan UPPM Sabah bakal beri manfaat 25,000 golongan memerlukan
- nabalunews
- Mar 3
- 2 min read

3 Mac 2025
KOTA KINABALU: Jelajah Iftar 2025 anjuran Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) Sabah bakal memberi manfaat kepada kira-kira 25,000 orang golongan memerlukan.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, golongan itu terdiri golongan asnaf, orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim piatu dan golongan B40.
Katanya, ia juga akan meraikan seramai 850 kanak-kanak dengan aktiviti “Shopping Raya di mana mereka akan dibawa membeli-belah pakaian di Pasaraya.
"Jelajah ini meliputi 25 lokasi di seluruh Sabah, bermula di Kudat pada 4 Mac dan berakhir di Papar pada 28 Mac.
“Sumbangan ini bukan sekadar menyantuni golongan memerlukan tetapi juga membawa keriangan kepada kanak-kanak dan mengurangkan bebanan ibu bapa atau penjaga menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis pelancaran Jelajah Iftar 2025 KTC dengan kerjasama UPPM Negeri Sabah, di pejabat KTC, di sini, hari ini.
Dexter berkata, seperti tahun sebelumnya, program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bertujuan membantu mengurangkan bebanan golongan kurang bernasib baik serta anak-anak yatim sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, melalui program itu, mereka akan menerima bantuan makanan berkhasiat untuk berbuka puasa serta sumbangan keperluan asas bagi membantu meringankan beban sepanjang bulan yang mulia ini.
“Komitmen KTC dalam membantu masyarakat tidak terhad kepada bulan Ramadan saja. Sebelum ini, KTC banyak menyalurkan sumbangan kepada mereka yang ditimpa musibah, termasuk mangsa kebakaran, mangsa banjir, serta penyediaan bakul makanan kepada penduduk semasa pandemik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah UPPM Negeri Sabah Datuk Awang Kadin berkata, Jelajah Iftar tahun kedua ini mencerminkan usaha berterusan KTC dalam memastikan sumbangan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
"Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan KTC dapat terus menjadi pemangkin dalam usaha kebajikan dan menjadi contoh kepada syarikat lain untuk turut menyumbang kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya.
Untuk rekod, KTC ialah pengedar terkemuka dan menyediakan penyelesaian FMCG (Fast Moving Consumer Goods) di Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1938, KTC yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Sabah, terus komited dalam membekalkan produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan pengedaran yang cekap kepada masyarakat.
Comments