“Kaamatan Poingampot Do Koubasanan” Meriah di Tamu Desa Bady Bady Tompuan
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News: Kidd
29 Mei 2026
KOTA BELUD: Sambutan Pesta Kaamatan bertemakan “Kaamatan Poingampot Do Koubasanan” berlangsung meriah di Dewan Tamu Desa Bady Bady Tompuan, Kampung Lasau Podi, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO), Fandhy Rajin dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, yang mewakili Timbalan Ketua Menteri III merangkap ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Turut mengiringi beliau ialah Pemaju Masyarakat Elycia Sikul; Pemaju Mukim Clarence Somuil, William Ginting dan Pinol Timun; serta Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, Shainim Epin.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Penganjur, Japin bin Lungkiyo, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan tersebut.
Sepanjang program dipersembahkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan silat, tarian tradisional serta ucapan yang menekankan kepentingan memelihara warisan budaya dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
Pengunjung turut dihiburkan dengan acara cabutan tiket bertuah yang menerima sambutan hangat daripada penduduk dan tetamu. Pada majlis sama, sijil penghargaan disampaikan kepada rombongan perasmi dalam bentuk Sijil Konvoi Motor sebagai tanda terima kasih atas penglibatan mereka memeriahkan sambutan Kaamatan tahun ini.

Selepas acara rasmi, rombongan perasmi dibawa melawat 13 gerai jualan milik penduduk kampung yang mempamerkan pelbagai produk tempatan dan kraftangan.
Untuk rekod, Tamu Desa Bady Bady Tompuan mula dibuka setiap hari Selasa sejak Ogos 2025, dan kini menjadi platform ekonomi serta tempat pertemuan penting bagi komuniti Kampung Lasau Podi, Kota Belud.















Comments