top of page

Kanak-kanak maut selepas motosikal ditunggang bapa bertembung Hilux

  • nabalunews
  • Jan 11
  • 2 min read

Toyota Hilux dipandu wanita merempuh masuk kedai gunting rambut dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang kanak-kanak, pagi tadi.
Toyota Hilux dipandu wanita merempuh masuk kedai gunting rambut dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang kanak-kanak, pagi tadi.

10 Januari 2026


TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama bapa dan abangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Batu 2, Jalan Apas, awal pagi tadi.


Dalam kejadian sekitar jam 5.36 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan motosikal jenis Husky 150 SE yang mengakibatkan bapa mangsa, 48, cedera parah, manakala abangnya, 13, cedera ringan.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 6.00 pagi dan siasatan awal yang dijalankan mendapati motosikal tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Bandar Tawau menghala ke Pekan Kunak.

"Pemandu Toyota Hilux pula merupakan seorang wanita berusia 63 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Jalan Pantai menuju ke Pasar Sin On.


"Ketika tiba di persimpangan Batu 2, lampu isyarat didapati berwarna hijau dan pemandu memasuki simpang Jalan Bunga Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Namun, katanya, secara tiba-tiba, motosikal yang datang dari arah bertentangan dan dipercayai ditunggang pada kelajuan tinggi melanggar bahagian hadapan kiri Toyota Hilux itu.


"Akibatnya pemandu Hilux hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan jalan sebelum melanggar sebuah Proton Saga yang diparkir dan seterusnya merempuh sebuah kedai gunting rambut,"katanya.


Jasmin berkata, pembonceng motosikal, sembilan (mangsa) disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan Hospital Tawau.


Penunggang motosikal (bapa mangsa) pula mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan perut, manakala seorang lagi pembonceng (abang mangsa) hanya cedera ringan dan pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.


Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.


Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar sentiasa memperlahankan kenderaan ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat, tidak memandu atau menunggang dalam keadaan laju serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page