Karnival Bola Sepak Piala Pisompuruun Kadamaian Edisi 2.0 Tawar Hadiah RM22,000
nabalunews
1 hour ago
2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 9 Okt – Karnival Bola Sepak Piala Pisompuruun Tertutup Kadamaian Edisi 2.0 akan berlangsung pada 14 hingga 15 November 2026 dengan tawaran hadiah keseluruhan RM22,000 membabitkan wang tunai, piala dan medal.
Kejohanan anjuran Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud itu menggunakan format bola sepak 11 sebelah, terbuka kepada pasukan tempatan Kadamaian dengan yuran penyertaan RM500 satu pasukan, dan tidak membenarkan pemain import sama sekali.
Pengerusi Penganjur, Joel Ewel Deukin, berkata edisi kali ini mencatatkan peningkatan berbanding edisi 2025 yang menawarkan hadiah RM20,000, sekali gus menunjukkan prestij acara tersebut semakin berkembang.
“Yuran penyertaan ialah RM500 satu pasukan, manakala jumlah hadiah keseluruhan RM22,000 membabitkan wang tunai, piala dan medal. Pemain import tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.
Johan akan membawa pulang RM10,000 berserta piala dan medal, Naib Johan RM7,000, tempat ketiga RM3,000, dan tempat keempat RM2,000. Hadiah individu pula disediakan kepada Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaring Terbaik yang masing-masing menerima trofi kasut emas.
Dari segi kelayakan, pemain mesti berasal dari kawasan Kadamaian, mempunyai ibu atau bapa dari Kadamaian, tinggal atau bermastautin di Kadamaian kerana berkahwin, pekerja kerajaan atau swasta yang bertugas di Kadamaian, atau pengundi Kadamaian. Pemain import tidak dibenarkan sama sekali.
Setiap pasukan wajib mendaftar 18 pemain dengan kuota 13 pemain berumur 39 tahun ke bawah dan lima pemain berumur 40 tahun ke atas. Dalam perlawanan, setiap pasukan wajib menurunkan sekurang-kurangnya sembilan pemain bawah 39 tahun dan dua pemain 40 tahun ke atas, namun kuota veteran tidak terpakai untuk posisi penjaga gol.
Peringkat kumpulan akan diadakan di tiga padang utama, iaitu Padang Kampung Tamu Darat, Padang Dundau Kampung Piasau, dan Padang Layu Kampung Nahaba. Peringkat separuh akhir dan majlis penutupan akan diadakan di Padang Kampung Tamu Darat yang akan diadakan pada 21 November.
Yang akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Joel turut menjelaskan, karnival bola sepak ini mendapat sokongan daripada Ewon, yang juga Presiden UPKO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yang mana karnival tersebut bertujuan memupuk perpaduan serta meningkatkan pembangunan sukan bola sepak dan bakat belia Kadamaian.
Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jolyhame (017-898 1321), Charlton (016-813 0868), Kyrol (013-877 8362) dan Joel (016-509 9604).















Comments