Kebakaran Kampung Bahagia Jejaskan Lebih 9,000 Penduduk
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

19 April 2026
SANDAKAN: Tragedi kebakaran besar yang berlaku di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, awal pagi tadi, dipercayai memusnahkan lebih 1,000 rumah.
Malah, kejadian yang berlaku pada jam 1.30 pagi itu dijangka turut menjejaskan seramai 9,007 penduduk kampung berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.32 pagi.

Katanya, sepasukan 37 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan anggaran 1,000 rumah kediaman atas air jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan seluas 10 ekar yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan Bomba menghadapi kesukaran di lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit sehingga menghalang pergerakan jentera ke kawasan kebakaran.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain turut menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.
“Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ di bahagian kiri dan kanan kawasan kebakaran dengan menggunakan empat aliran sepanjang 300 meter dengan 12 pancutan.
“Jentera FRT bantuan daripada BBP Kinabatangan turut menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 121 meter dengan empat pancutan.
“Sumber air diperoleh daripada Water Tanker, pili bertekanan milik Kilang IOI serta sumber air terbuka (air laut),” katanya.
Menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan dan pemeriksaan di sekitar kawasan mendapati tiada lagi bahaya lain yang wujud.
“Operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi,” katanya.















Comments