Kecacatan fizikal bukan penghalang Brenda lakar nama di persada sukan duniaKecacatan fizikal bukan penghalang Brenda lakar nama di persada sukan dunia
top of page
  • Writer's pictureJacquline Ebit

Kecacatan fizikal bukan penghalang Brenda lakar nama di persada sukan dunia



29 Okt 2021

Oleh Jacquline Ebit


Kekurangan dari segi fizikal bukan penghalang bagi Brenda Anellia Larry, 16, untuk berjaya dalam sukan renang.


Hasil usaha dan dedikasi berterusan, kini Brenda bergelar atlet paralimpik negara setelah mewakili negara dalam sukan itu pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Ogos lalu.


Menariknya, altet dari Kota Kinabalu itu merupakan perenang para wanita pertama negara yang bertanding di Kejohanan Paralimpik pada edisi kali ini.


Brenda, yang dilahirkan tanpa kedua belah tangan berkata beliau memutuskan untuk menjadi atlet renang selepas rakannya, Jason iaitu pembuat kasut khas bagi Brenda menggalakkannya untuk menyertai sukan itu.



Brenda ketika ditemui Nabalu News

“Saya mula belajar berenang pada tahun 2016 selepas kawan saya, Jason memperkenalkan saya kepada sukan renang ini lagipun saya memang sukakan air dari kecil.


“Dengan sokongan kedua-dua ibu bapa, saya mengikuti kelas berenang di Kolam Renang Kompleks Sukan Likas. Tetapi pada masa itu, saya hanya mencuba secara suka-suka sahaja.


“Lama kelamaan, jurulatih saya mula membawa saya untuk mengikuti beberapa pertandingan para renang bermula dengan pertandingan peringkat negeri pada tahun 2017,” katanya ketika ditemui Nabalu News semasa sesi latihan di Kolam Renang Kompleks Sukan Likas, baru-baru ini.


Brenda kemudian melebarkan sayapnya dalam sukan renang dengan memenangi beberapa kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehinggalah berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik.


Pencapaian Brenda: Para Sukma (2018) 50M Freestyle(emas) Malaysia Open (2018) 150m Individual Medley (Emas) 100m Breaststroke (Emas) 100m Backstroke (Emas) 100m Freestyle (Emas) 50m Freestyle (Emas) 50m Backstroke (Emas) 50m Breaststroke (Emas) 50m Butterfly (Emas) Arafura Games, Darwin Australia (2019) 50m Freestyle (Gangsa) 50m Backstroke (Gangsa) World Series Para Swimming Singapore (2019) 50m Butterfly (Rekod Asia) World Championship London (2019) 50m backstroke (Melepasi masa kelayakan Paralimpik) Paralympic Tokyo 2020 (2021) 50m Butterfly (Rekod Asia)

Menurut Brenda pengalaman paling berharga baginya sepanjang kariernya sebagai atlet para renang ialah semasa World Para Swimming Championships di London 2019 yang mana rekod yang dicatatkannya dalam acara kuak lentang 50m wanita kategori S4 (kecatatan fizikal) 58.12s berjaya untuk melayakkannya bertanding ke Sukan Paralimpik 2020 Tokyo.


“Saya tidak menyangka dapat melayakkan diri ke Sukan Paralimpik di Tokyo. Tetapi perasaan pada masa itu tidak juga berapa excited sebab masa itu saya masih kecil lagi.


“Jadi masa tu apa yang saya rasa ialah gementar dan takut sebab lawan semua lagi tua dari saya namun pada masa yang sama saya juga berbangga dapat mewakili negara ke Paralimpik,” katanya.


Brenda pada ketika itu hanya berumur 14 tahun semasa bertanding di kejohanan para renang di London di mana dia berjaya melepasi catatan masa kelayakan Sukan Paralimpik 2020 Tokyo.



Brenda bersama atlet para renang Sabah lain mendengar arahan dari jurulatih semasa sesi latihan

Tambahnya, persiapan sebelum ke Tokyo itu sedikit terganggu akibat daripada pandemik Covid-19.


“Persediaan sebelum Kejohanan Paralimpik Tokyo tu agak sukar sebab pada masa tu pandemik, jadi latihan semua pun terganggu. Kolam renang juga tidak dibenarkan buka, jadi saya terpaksa menjalankan latihan sendiri di rumah.


“Coach banyak membantu saya dalam sesi latihan dengan memberi saya list workout setiap hari untuk saya buat termasuk menyediakan kolam renang kecil,” jelasnya.


Brenda berkata dorongan dan nasihat dari ibu bapanya banyak membantunya untuk sentiasa berfikiran positif untuk menerima dirinya seadanya.


“Mula-mula dulu memang saya rasa terbeban dengan kekurangan yang saya miliki ini kerana saya bebeza dari orang lain. “Tapi atas dorongan dan nasihat dari ibu saya yang selalu membantu dan menyokong saya dari segi apa pun membuat saya rasa lebih menerima keadaan fizikal saya dan tidak lagi peduli apa kata orang pada diri saya,” katanya.



Sementara itu, Jurulatih Brenda, Eva Wong berkata apa yang dicapai oleh Brenda setakat ini amat membanggakan lebih-lebih lagi apabila dia berjaya ke Paralimpik pada usia yang begitu muda.


“Saya sebenarnya target untuk Brenda bertanding dalam Paralimpik Games 2024, tidak sangka pula dia dapat melayakkan diri begitu cepat di Paralimpik Tokyo 2020. Jadi saya memang cukup gembira dan berbangga dengan Brenda.


“Lagipun saya memang sudah berjanji untuk bawa dia bertanding sehingga ke sukan Paralimpik Games sejak kali pertama saya mengajar dia berenang.


“Saya memang yakin dia boleh sampai ke sana, hanya tunggu masa sahaja. Cuma memang tidak sangka dia berjaya sampai ke tahap tertinggi begitu awal,” katanya dan menambah Brenda seorang yang berdisiplin tinggi, kuat berusaha dan pandai berdikari.


Katanya lagi, Brenda juga seorang yang cepat belajar. “Apa yang jurulatih minta dia sentiasa akan buat yang terbaik. She’s a very good athlete”.


Tambah Eva, pencapaian Brenda di Paralimpik Tokyo adalah cukup baik kerana dia dapat memperbaiki masa peribadinya dalam acara 50m Butterfly dan mencatat rekod baharu Asia iaitu 1 minit 00.62 saat (1 minit 09.72s - rekod lama).


Jurulatih Brenda, Eva Wong

“Bagi saya secara keseluruhan, pengalaman ini cukup berguna untuk dia gunakan nanti pada pertandingan-pertandingan yang akan datang. Lagipun ini merupakan first Paralimpik Games buat dia jadi bagi saya apa yang penting ialah dia mendapat pengalaman baharu dengan mengikuti kejohanan tersebut.


“Brenda capable untuk mencapai peringkat tertinggi, tetapi masih memerlukan lebih banyak pendedahan dan latihan lagi untuk ke peringkat itu.


“Saya percaya dia boleh ke tahap dunia sebab dia masih muda dan dia masih boleh berlatih untuk memperbaiki masanya,” kata jurulatih itu.


Meskipun tidak memenangi sebarang pingat dalam Sukan Paralimpik pada edisi kali ini, Brenda tetap pulang dengan pengalaman yang begitu berharga sekali.


“Impian saya satu hari nanti ialah untuk menjadi seorang atlet para renang yang professional. Saya ingin jadikan sukan renang ini sebagai satu karier.


“Nasihat saya kepada mereka yang juga seperti saya memiliki ketidakupayaan ialah teruskan untuk mencuba perkara-perkara baharu.

“Kalau bukan dalam sukan mungkin dari segi lain seperti melukis atau bermain muzik. Sebab setiap kita mempunyai bakat tersendiri yang penting teruskan mencuba dan jangan berputus asa,” kata perenang paralimpik muda negara itu.

bottom of page